BERDIRI teguh selama ini bersama kumpulan Exists, Ezad Lazim, tidak menolak, jauh di sudut hati, dia juga mengimpikan untuk menjayakan konsert sendiri.
Bagaimanapun, tidak adil untuk mana-mana pihak mengandaikan kemahuan itu sebagai mengetepikan kumpulan Exists daripada kerjaya seninya.
Apatah lagi, namanya turut terpalit dalam kekecohan, baru-baru ini apabila Ezad dikatakan tidak sudi menyertai anggota Exists yang lain menjayakan konsert Resolusi Exists yang dijadualkan berlangsung pada 18 November ini.
Telah berkali-kali menafikan dia berselisih faham dengan anggota lain, vokalis berusia 42 tahun itu berkata, dia tidak mahu perkara itu dipanjang-panjangkan lagi memandangkan penjelasan sudah dibuat.
Tumpuan utama Ezad ketika ini adalah untuk memberikan komitmen penuh pada penganjuran showcase mini yang akan berlangsung di Hotel Aseana Resort & Spa, Langkawi pada 25 dan 26 November ini.
“Saya terlebih dahulu menerima tawaran dan menyatakan persetujuan untuk menjayakan showcase mini di Langkawi. Tidak ada kena-mengena dengan perselisihan faham atau sebab masalah lain.
“Cuma, masa tidak menyebelahi saya. Tetapi, bohonglah jika saya katakan tidak ralat kerana tidak dapat menyertai rakan-rakan lain untuk konsert itu.
“Saya percaya kepada rezeki yang telah Allah SWT tentukan. Lagipun, showcase mini di Langkawi itu juga antara impian yang saya sudah lama idamkan,” katanya.
Mengulas penganjuran Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim, penyanyi ini meluahkan rasa teruja kerana buat julung kali ditawarkan beraksi secara solo untuk persembahan seperti ini.
“Sejujurnya, saya tidak pernah ditawarkan mengadakan sebarang showcase secara solo. Saya pernah mencadangkan kepada stesen penyiaran untuk menerbitkan program hiburan yang menyaksikan saya beraksi solo, tetapi ditolak.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana sedar, lagu solo saya tidak sekuat lagu yang pernah didendangkan bersama Exists,” ujarnya.
Ezad berkata, pada showcase mini itu, dia akan berduet dengan peminat yang juga penonton bertuah menerusi seleksi lagu popularnya.
Malah, pembeli tiket showcase mini itu juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa telefon pintar canggih. Khas bagi pembeli tiket VIP Gold, mereka akan berpeluang menyertai sesi Meet & Greet, jamuan dan membawa pulang cenderahati.
Menyentuh pemilihan lagu, Ezad berkata, dia akan tetap membawakan lagu popularnya bersama Exists, meskipun mereka tidak beraksi bersama-sama.
“Selain lagu solo, saya akan bawakan juga lagu popular Exists untuk memenuhi permintaan peminat. Sebelum ini, jika beraksi dalam mana-mana acara atau program, saya akan bawakan juga lagu Exists.
“Untuk tidak menghampakan peminat, saya fikir tiada salahnya untuk saya bawakan lagu yang sudah sinonim dengan diri,” katanya.
Berkongsi lanjut, untuk persembahan itu, Ezad akan diiringi oleh band AANTU di bawah pimpinan penyanyi dan komposer, Adzrin Azhar.
Adzrin turut tampil pada persembahan pembukaan, selain berpadu suara dengan Ezad.











