Takkan nak harap hero tua sahaja? – Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Takkan nak harap hero tua sahaja? – Rosyam Nor

ROSYAM Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANTANG dalam menyuarakan sesuatu, setiap yang dilontarkan itu ada benarnya. Empat dekad dalam industri seni, dia tahu selok-belok dan setiap liku yang dijalani, menjadikan dia berdiri teguh.

Dilayangkan pertanyaan tentang kebanjiran bakat baharu yang bersilih berganti hadir, Datuk Rosyam Nor berkata, dia tidak memahami mengapa ada segelintir pelakon lama seperti mempunyai masalah dengan pelakon baharu.

“Kita memang memerlukan pelakon muda untuk meneruskan legasi industri hiburan. Takkan nak harap hero tua sahaja? Tidakkah pelik jika tiba-tiba saya melakonkan watak remaja?

“Zaman sudah berubah, industri seni juga bergerak seiring masa. Janganlah merungut. Populariti di media sosial itu cuma bonus. Apa yang penting, bagaimana mereka membawa diri.

“Kalau mereka sekadar mengharapkan populariti di media sosial, tetapi tidak mempersiapkan diri dan bakat, suatu hari nanti mereka akan hilang. Jadi, tidak perlu merungut, komplen sana sini. Tiada disiplinlah, kayulah, itu semua alasan,” katanya.

Terbuka menerima kehadiran pelakon baharu, jelas pelakon berusia 55 tahun ini, pelakon lama seharusnya membantu mereka untuk lebih mewarnai industri seni dengan bakat dan kemampuan.

Baginya, tiada guna jika ada yang cuba menjatuhkan pelakon baharu semata-mata kerana mereka lebih mudah membolosi industri disebabkan pengaruh media sosial dan jumlah pengikut yang ramai.

“Masa mereka jadi junior dulu, ada senior lain yang hentam? Kenapa apabila sudah jadi senior, masing-masing cuba mencari salah. Kadang kala kita tengok pelakon muda bawa dua, tiga pembantu, itu hak mereka. Kenapa perlu marah?

“Bukan saya mahu sokong, tetapi industri seni memerlukan pelapis.Jika bukan kita yang bantu dan kongsi ilmu, sampai bila-bila pun mereka akan terkapai-kapai. Kita perlu sama-sama menaikkan industri seni.

“Kalau cakap mengenai jumlah pengikut, memang itu medium dan ukuran populariti. Ia realiti zaman sekarang. Cuma, jangan dabik dada dengan jutaan pengikut. Kita kena tengok engagament juga, selari atau tidak dengan jutaan pengikut,” katanya.

DELETED: AKAN KU JEJAK!

Membuka gelanggang bicara tentang produk seni, Rosyam yang kini sedang giat mempromosikan filem baharunya, Deleted: Akan Ku Jejak! mengharapkan naskhah tersebut turut pecah panggung.

Melihatkan trend kebangkitan filem tempatan seperti Mat Kilau, Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dan Abang Long Fadil 3, Rosyam berkata, tidak mustahil filem itu juga mampu bersaing sama.

“Memang tidak semua filem tempatan berjaya. Tetapi, kita lihat penonton sudah kembali mempercayai karya yang dihasilkan dan dilakonkan oleh anak seni tempatan. Itu petanda yang sangat baik.

“Deleted mempunyai jalan cerita yang berbeza dan saya yakin, ia mempunyai tarikan yang cukup kuat. Bukan bias, tetapi saya sendiri apabila menonton filem ini, tidak ada rasa mahu keluar panggung sebab memang menarik,” katanya.

Deleted: Akan Ku Jejak! yang mula ditayangkan 15 September lalu, turut membariskan pelakon popular seperti Fattah Amin, Henley Hii, Pablo Amirul dan pelakon Singapura, Zhu Houren.

Jelas Rosyam, mengangkat isu penyeludupan dan pemerdagangan manusia, terutama kanak-kanak, Deleted: Akan Ku Jejak! secara tidak langsung memberi tamparan realiti kepada penonton betapa seriusnya jenayah terancang itu.

“Filem ini bukan sahaja penuh aksi dan babak mendebarkan, tetapi sebenarnya mesej yang diangkat adalah sesuatu yang perlu kita ambil tahu. Ini adalah sebuah filem berat yang dikomersialkan.

“Itu penting kerana tidak semua penonton menerima filem dengan mesej berat tanpa ada nilai komersial. Kita tengok Mat Kilau, itu adalah contoh yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×