PETALING JAYA: Kerajaan tidak memandang serius isu kejatuhan nilai ringgit kerana masih tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil untuk membendung masalah tersebut, menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.
“Ini dikatakan bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis dan semuanya dalam keadaan baik. Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana.
“Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan dan tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Adakah ini okey? Sudah tentu tidak,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.
Beliau juga memaklumkan, dalam satu laporan kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember 2021, sebanyak 12 peratus rakyat telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari.
“Sebanyak 12 peratus rakyat juga menangguh rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.
Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara. Sebanyak 76 peratus daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan,” ujarnya.
Justeru, Muhyiddin berkata, selaku pengerusi MPN, beliau telah menyuarakan kebimbangan mengenai isu ini dan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan.
“Banyak lagi perakuan yang dikemukakan oleh MPN untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara termasuk mempercepatkan proses pemulihan dalam sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.
“Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini. Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.
“Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini,” ujarnya. – UTUSAN











