AirAsia perluas operasi di Indonesia, Filipina

AirAsia perluas operasi di Indonesia, Filipina

TONY Fernandes bersama maskot AirAsia pada majlis meraikan penyambungan semula operasi AirAsia di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, merancang meluaskan operasinya di Indonesia dan Filipina melepasi paras pra-pandemik pada suku pertama tahun depan, berikutan prospek pelancongan dan ketersambungan yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad,  Tan Sri Tony Fernandes berkata, potensi pelancongan yang besar dan prestasi ekonomi adalah antara pemacu pertumbuhan AirAsia di kedua-dua negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Walaupun kami mempunyai pandangan positif untuk Indonesia dan Filipina, kami tidak akan membatalkan operasi penerbangan di Malaysia dan Thailand.

“Kami memerlukan pesawat di Malaysia dan Thailand, cuma Indonesia dan Filipina benar-benar berkembang dengan baik dan kami mahu mengembangkannya ke saiz yang lebih besar,” katanya pada acara AirAsia di Terminal 4 Changi untuk meraikan penyambungan semula operasi syarikat itu, semalam.

AirAsia mempunyai pesawat semasa sebanyak 205 dan ingin meningkatkannya kepada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia akan mula menerima penghantaran 362 Airbus 321neo yang telah ditempah, mulai 2024.

Mengenai operasi kargonya, Tony berkata, Teleport, cabang logistik AirAsia, akan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan Kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan 50 kapal kargo dalam perkhidmatan.

Kumpulan itu menyambung semula pesanan mereka untuk empat pesawat pengangkut Airbus 321 dengan penghantaran pertama dijangka pada Disember 2022, yang tertangguh akibat pandemik.

“Terdapat peluang sebenar di sini, sama seperti yang kami lakukan untuk perkhidmatan penumpang.

“Kami telah membuka pasaran baharu, 60 peratus daripada laluan kami hari ini adalah baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×