ALOR SETAR: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mempengaruhi kemampuan orang ramai terutama dalam kalangan M40 untuk membeli rumah tanpa bantuan atau insentif daripada kerajaan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis, Yeoh Su Guan berharap, pengumuman Bajet 2023 kelak akan menyediakan buah tangan kepada pembeli mahupun pemaju untuk mengurangkan kesan OPR itu berkaitan pemilikan rumah.
“Peningkatan OPR itu memang ada kesan kepada hartanah. Kadar ansuran akan meningkat dan membuat pembeli teragak-agak untuk membeli hartanah terutama golongan M40 yang banyak komitmen.
“Apabila OPR meningkat jadi tempoh pinjaman akan lebih panjang atau jumlah ansuran akan meningkat. Sekarang banyak yang masih tunggu dan lihat apa yang diumum kerajaan dalam bajet nanti. Jadi keputusan mereka untuk beli atau tidak bergantung kepada bantuan atau insentif kerajaan dalam bajet itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Rehda Kedah/Perlis bersama anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo) di sini, semalam.
Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak tiga kali kepada 2.5 peratus sekaligus menyebabkan pinjaman atau pembiayaan berasaskan kadar apungan akan meningkat selain jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.
Mengulas lanjut kata Su Guan, industri dan pasaran hartanah juga berhadapan ketidaktentuan ekoran kekurangan tenaga kerja, kos bahan binaan yang tinggi, gangguan rantaian bekalan, dan pelaksanaan gaji minimum pasca pandemik Covid-19.
“Semasa pandemik, kami tidak boleh bekerja, selepas pandemik tiada pekerja, jadi sekarang pemaju mencari jalan untuk menyiapkan projek itu, itulah cabaran pertama yang perlu kami hadapi.
“Kebanyakan pemaju tergesa-gesa untuk menyiapkannya kerana sejak dua tahun lalu walaupun kerajaan memberikan lanjutan tempoh masa (EOT). Ia bukan kerana faktor dalaman banyak faktor luaran seperti bahan import, mata wang dan logistik,” katanya. – UTUSAN










