TNB perkukuh bekalan elektrik Pulau Pinang

TNB perkukuh bekalan elektrik Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow, Takiyuddin Hassan dan Baharin Din melihat model projek pengukuhan bekalan elektrik Pulau Pinang yang dibangunkan oleh TNB yang dilancarkan di Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan projek pengukuhan bekalan elektrik Pulau Pinang yang mampu membekalkan sehingga 2,000 megawatt (MW) secara terus dari Grid Nasional di Semenanjung ke Pulau Mutiara itu.

Projek penyambungan terus bernilai lebih RM500 juta itu membabitkan penghantaran talian atas 275KV sejauh 8.5 kilometer direntang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang dan dijangka siap pada 2024.

Menurut TNB, ia menggunakan 31 menara tunggal (monopole) penghantaran dengan enam berbentuk buah pinang yang menjadi mercu ikonik pelancongan, menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa Perai ke PMU The Light di daerah Timur Laut berhampiran Kem Tentera Batu Uban.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek itu pemangkin kepada pembangunan negeri secara keseluruhannya, selaras dengan Visi Penang 2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang telah digariskan secara komprehensif, lengkap dan menyeluruh.

“Kita boleh merancang dengan teliti, menyusun strategi untuk projek-projek gergasi sekali pun, namun ia tidak boleh dicapai tanpa bekalan tenaga yang mencukupi dan stabil. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh TNB dengan pelaksanaan projek pada hari ini,” katanya semasa melancarkan projek berkenaan, semalam.

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin.

Tiga penghantaran bekalan elektrik sedia ada ke pulau berkenaan adalah melalui kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai – SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru – PMU Bayan Lepas (1995), di samping SJ Gelugor.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, projek itu akan memastikan rakyat dan para pelabur di Pulau Pinang terus menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, berikutan permintaan dijangka meningkat sejajar pemulihan ekonomi pasca pandemik.

Kata beliau, pengekalan kestabilan bekalan akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan.

“Malah, talian penghantaran ini sendiri menjadi daya tarikan pelancongan dengan enam daripada 31 menaranya mempunyai reka bentuk ikonik berbentuk buah pinang,” katanya.

Berdasarkan fasa pembinaan projek, kerja-kerja penyiasatan tanah telah dijalankan sekitar Februari sehingga Julai 2022.

Fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli dengan kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka akan dimulakan awal Oktober 2022, dengan keseluruhan projek dijangka siap pada 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×