SP Setia sasar segmen sewaan sumbang 30% menjelang 2025

SP Setia sasar segmen sewaan sumbang 30 peratus menjelang 2025

CHOONG Kai Wai dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Najmuddin Jemain (empat kanan) pada majlis perasmian Setia EcoHill Mall di Semenyih, semalam. – UTUSAN/WAN REDZA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: SP Setia Berhad (SP Setia) menyasarkan segmen sewaan menyumbang sebanyak 30 peratus daripada keseluruhan pendapatannya menjelang 2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai berkata, segmen sewaan kini menyumbang sebanyak 10 peratus kepada pendapatan syarikat menerusi beberapa hartanah seperti Setia City Mall dan Mercu KL Eco City.

Katanya, sebahagian besar perolehan daripada segmen tersebut akan diperoleh daripada Shangri-La di Melbourne yang dijangka siap pada hujung tahun depan.

“Shangri-La Melbourne akan memberi sumbangan yang besar untuk segmen ini yang membantu menambah pendapatan sewaan kami.

“Syarikat terpaksa menyemak semula jangka masa sasaran tersebut disebabkan pandemik Covid-19. Namun, kami yakin dapat mencapainya pada 2025,” katanya selepas pelancaran Setia EcoHill Mall di sini, semalam.

Mengulas prospek pasaran hartanah ketika ini, Kai Wai berkata, pihaknya positif dari segi jualan hartanah rumah atas tanah.

Menurutnya, pandemik telah mengubah pemilihan hartanah dalam kalangan pembeli yang lebih menggemari rumah bertanah.

“Oleh itu, kebanyakkan hartanah dijual dengan baik melibatkan hartanah yang bernilai RM700,000 ke bawah.

“Tambahan pula, perbandaran yang dibangunkan SP Setia sudah pun matang dan memiliki banyak kemudahan,” ujarnya.

Setia EcoHill Walk Setia EcoHill adalah pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta melibatkan tiga komponen utama iaitu 243 unit kedai dan pejabat, 280,000 kaki persegi pusat membeli-belah Setia EcoHill Mall dan dua blok pangsapuri perkhidmatan.

Pelancaran Setia EcoHill Mall turut melibatkan pembukaan penyewa utamanya iaitu pasar raya dan gedung serbaneka, Lulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×