KETIKA gelombang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas lebih 60 tahun memerintah, Perlis menjadi antara negeri selain Pahang yang terselamat daripada ‘tsunami’ politik itu.
Ketika satu demi satu negeri jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH), UMNO dan BN di Perlis masih mampu mencapai kemenangan selesa membentuk kerajaan negeri.
BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua daripada tiga Parlimen di Perlis.
Bersandarkan momentum dan penerimaan rakyat terhadap BN kembali baik, parti itu dijangka tidak mempunyai masalah untuk terus kekal menerajui Perlis pada PRU15.
Di Parlimen Arau, BN masih berupaya mengekalkan kerusi tersebut di sebalik desas-desus nama tokoh politik negeri ini, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dicalonkan.
Jika BN masih mengekalkan Shahidan, peluang menang besar akan lebih cerah memandangkan pengundi di kerusi disandangnya sudah biasa dengan kepemimpinan Ketua UMNO Bahagian Arau itu.
Bagi kedudukan DUN, kawasan seperti Pauh, Tambun Tulang dan Simpang Empat, BN dijangka tidak menghadapi masalah terus mengekalkan kerusi berkenaan.
Malah, BN juga berupaya merampas kembali kerusi Guar Sanji dan Sanglang yang kini di bawah Pas, namun perlu berusaha lebih keras menawan hati pengundi di samping menimbang untuk meletakkan calon yang benar-benar layak di kawasan tersebut.
Pada PRU14, calon Pas, Mohd. Ridzuan Hashim menang dengan majoriti 328 undi manakala di Sanglang, Mohd. Shukri Ramli yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas negeri menewaskan calon dengan kelebihan 42 undi sahaja.
Di Padang Besar, BN dijangka meneruskan pencapaian cemerlang menyapu bersih kesemua lima kerusi DUN dan satu Parlimen. Padang Besar merupakan satu-satunya kawasan yang menyaksikan BN menyapu bersih semua kerusi dalam PRU14.
BN mungkin berdepan cabaran sukar di Parlimen Kangar yang menyaksikan mereka kehilangan kerusi tersebut buat pertama kalinya dalam sejarah semasa PRU14, selain turut kalah di tiga lagi kawasan DUN iaitu Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan.
Di kawasan bandar seperti Kangar, kelebihan dilihat masih memihak kepada PKR namun tidak mustahil BN boleh membuat kejutan jika menampilkan calon yang sesuai.
Dalam PRU-14, calon PKR ketika itu, Noor Amin Ahmad menang dengan majoriti besar iaitu 5,603 mengatasi calon BN, Ramli Shariff dan wakil Pas, Mohamad Zahid Ibrahim.
Di Sena dan Kuala Perlis, BN masih berpeluang merampas kembali kerusi berkenaan kali ini, namun perlu mengetengahkan calon yang benar-benar layak memandangkan wakil rakyatnya Nor Azap Karap dan Asrul Nizan Abd. Jalil menunjukkan prestasi baik.
Indera Kayangan yang menjadi milik PKR sejak dua penggal lalu nampaknya sukar untuk ditembusi dan parti itu dijangka kekal menguasai dalam PRU15.
Menjelang PRU15, BN dijangka terus kekal mengemudi Perlis meskipun bakal berhadapan cabaran pelbagai parti politik dalam pilihan raya akan datang. – UTUSAN










