PETALING JAYA: Malaysia tidak akan terjerumus dalam kemelesetan ekonomi kerana struktur ekonomi yang pelbagai dan kurang bergantung kepada komoditi, menurut Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata, ketika ekonomi dunia maju ke arah pemulihan penuh, cabaran baharu telah timbul, memberi kesan kepada Malaysia dan rakan dagangan utama negara.
“Di peringkat global, ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China serta krisis Ukraine-Russia menyebabkan harga komoditi dan kos logistik melonjak seterusnya mengakibatkan tekanan inflasi yang tinggi di seluruh dunia dan ini memaksa bank-bank pusat mengetatkan dasar monetari masing-masing untuk mengekang inflasi.
“Ini berkemungkinan menyebabkan kelembapan ekonomi dan potensi kemelesetan di sesetengah negara pada 2023,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Invest Malaysia 2022 Siri 1: Membina Daya Tahan Dalam Situasi Kemeruapan, di sini semalam.
Bagaimanapun, Abdul Wahid menjelaskan, sektor pertanian dan perlombongan kini hanya menyumbang 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing menyumbang sebanyak 57 dan 24.3 peratus.
“Kepelbagaian rakan dagangan kami, di mana kami tidak terlalu bergantung kepada satu negara tertentu sahaja telah menambah daya tahan ekonomi,” ujarnya.
Faktor yang sangat penting yang menyumbang kepada daya tahan Malaysia ialah kekuatan dan kestabilan sistem kewangan, kata pengerusi itu, kerana bank-bank Malaysia mempunyai permodalan yang baik, cair, diurus dengan lebih baik, dan dikawal dan diselia dengan berkesan oleh Bank Negara Malaysia.
Beliau menegaskan, bank akan terus melaksanakan peranan pengantaraan mereka dengan menggerakkan dana yang disalurkan ke dalam sektor ekonomi yang produktif.
“Bank dan syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia ini mempunyai wajaran yang ketara dalam kedua-dua FBM KLCI dan indeks kemampanan FTSE4GOOD Bursa Malaysia.
“Tujuh saham perbankan iaitu Malayan Banking Bhd (Maybank), Public Bank Bhd., CIMB Group Holdings Bhd., Hong Leong Bank Bhd., RHB Bank Bhd., AMMB Holdings Bhd. (AmBank) dan Alliance Bank Malaysia Bhd. mempunyai gabungan permodalan pasaran RM325.36 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada jumlah permodalan pasaran sebanyak RM1.65 trilion pada akhir Jun 2022,” jelasnya.
Ujar beliau, sistem kewangan ini dilengkapi dengan pasaran hutang dan modal ekuiti yang berfungsi dengan baik, yang bernilai RM3.5 trilion pada 30 Jun, 2022 dengan pasaran modal hutang menyumbang RM1.8 trilion dan pasaran modal ekuiti membentuk RM1.7 trilion.
“Malaysia juga merupakan rumah kepada pasaran modal Islam terkemuka dunia yang bernilai RM2.2 trilion, mewakili hampir dua pertiga daripada jumlah pasaran modal,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan Malaysia mengalami krisis ekonomi kerana ringgit berada paras yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, prestasi ringgit harus di lihat secara menyeluruh dan bukan berbanding AS sahaja kerana mata wang negara itu sudah menunjukkan pengukuhan berbanding mata wang asing lain di dunia.
Katanya, nilai ringgit mengalami penurunan sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak awal tahun ini, namun mata wang negara serantau dan negara maju juga turut mengalami penurunan berbanding dolar AS.
Menurutnya, yen telah jatuh sebanyak 19.2 peratus iaitu terendah sejak 24 tahun lalu, pound sterling pula jatuh 14.4 peratus, euro (turun 11.7 peratus), yuan (turun 8.3 peratus) dan peso Filipina (jatuh 10.3 peratus).
“Jika penurunan ringgit dituduh sebagai krisis ekonomi, bagaimana pula dengan Jepun, United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah kerana mata wang mereka juga jatuh, malah lebih rendah daripada kita.
“Sebaliknya, jika dibandingkan dengan rakan niaga kita dari negara lain, nilai ringgit telah meningkat. Ringgit meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding yen, 8.2 peratus (pound sterling), 4.5 peratus (euro) dan 7.2 peratus (won Korea),” katanya dalam video di Facebook miliknya. – UTUSAN










