PETALING JAYA: Meskipun berdepan kempen buruk di peringkat antarabangsa, minyak sawit Malaysia terus menembusi pasaran global baharu.
Kejayaan itu bukti komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi.
Sebanyak tiga negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia iaitu Estonia, Republik Czech dan Hungary telah membeli komoditi itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, manakala Republik Czech mengimport 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary sebanyak 853 tan bernilai RM6.73 juta.
Ujarnya, walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara itu tidak setinggi seperti India dan Turkiye, namun ia merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana merupakan pasaran baharu.
“Dengan selangkah kaki masuk ke pintu negara-negara ini, ia membolehkan kita mengembangkan lagi pasaran minyak sawit Malaysia di sana untuk tempoh jangka masa panjang.
“Kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed.
“Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zuraida, KPPK pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.
Kata beliau, ia akan dilakukan melalui memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan Asia Tengah.
“Kita juga akan meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran selain meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala,” ujarnya.
Tambah beliau, maklum balas yang diterima daripada pasaran-pasaran baharu juga menunjukkan mereka yakin dengan kualiti minyak sawit Malaysia kerana produktiviti yang tinggi dan ketersediaannya sepanjang tahun, serta kepelbagaian kegunaan dalam sektor makanan dan bukan makanan.
“Kementerian akan terus memanfaatkan kekuatan ini, sekali gus menunjukkan kejayaan kempen Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit.
“Sebelum ini, ramai khususnya di EU, tidak tahu tentang kelebihan dan manfaat minyak sawit Malaysia berikutan kempen fitnah yang berterusan selama beberapa dekad.
“Penerimaan minyak sawit kini semakin meningkat berikutan kesedaran yang tinggi, hasil usaha promosi warga kementerian termasuk melalui misi perdagangan antarabangsa yang telah kami adakan,” ujarnya. – UTUSAN










