Resipi turun temurun warisan keluarga menjadi pemangkin semangat Muhammad Hamizan Roslan memperkenalkan satar buatannya kepada masyarakat Kuala Rompin, Pahang.
Muhammad Hamizan, 28, menyifatkan idea membuka perusahaan satar datang daripada ibu dan ayah beliau yang pernah mengusahakan perniagaan sama sebelum ini.
Beliau yang mengusahakan perniagaan ini sejak 2018 turut dibantu isteri, Nurul Ain Farahin Zukaidi, 25, yang bertindak sebagai orang kuat di bahagian pemasaran Satar John.
“Satar John sempena nama panggilan ayah saya, Roslan Abd. Ghani yang mesra dipanggil John oleh jiran dan kenalan.
“Selain isteri dan ibu, ayah banyak menyokong saya untuk mengusahakan perniagaan satar. Jadi pilihan nama ini sekali gus dapat membanggakan ayah dan ibu saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang berasal dari Felda Selendang Kuala Rompin, Pahang berkata, produk satarnya turut diedarkan secara sejuk beku di beberapa lokasi restoran di Kuala Rompin seperti di Cendol Hero Kampung Sepakat dan Warung Kak Yah Maggi Telor Sotong Pantai Hiburan serta Kampung Tekek, Pulau Tioman.
Selain dimakan sebagai sajian minum petang, Muhammad Hamizan berkata, tempahan turut diterima bagi memenuhi permintaan untuk acara seperti jamuan dan majlis keraian.
“Saya gembira apabila pelanggan suka Satar John. Ia memberikan kepuasan kepada saya dalam mengetengahkan produk makanan tradisional ini,” katanya.
Mengulas keenakan menu itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan resipi turun temurun keluargalah yang memberikan keenakan kepada Satar John, berbanding dengan satar lain yang terdapat di pasaran.
“Saya yakin satar ini mampu dipasarkan lebih jauh dan sedang mencari peluang ke arah itu,” katanya.
Muhammad Hamizan mengakui cabaran bergelar usahawan tidak mudah.
Pengalaman rugi akibat ikan busuk dan rosak masih berbekas dalam fikirannya dan dijadikan pengajaran untuk maju dalam industri makanan.
Buat masa sekarang, Muhammad Hamizan dibantu isteri dan lima pekerja menyediakan 100 kilogram (kg) satar setiap minggu untuk diedarkan kepada ejen dan dijual di pasar malam sekitar Kuala Rompin.
“Kami turut membuka gerai setiap hari di Felda Selendang dan Kampung Sepayang. Harga satar siap dibakar dan sejuk beku RM3 secucuk manakala ejen kami bagi harga istimewa.
“Bermodalkan RM5,000 ketika mula mengusahakan perniagaan ini, produk ini terus mendapat permintaan sehingga kini. Saya komited untuk memastikan ia kekal di pasaran dan berkembang lebih jauh,” katanya.










