PETALING JAYA: UOB Malaysia dan Citi Malaysia mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima kelulusan kawal selia daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk UOB mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citi di Malaysia.
Berikutan kelulusan tersebut, UOB Malaysia dan Citi Malaysia akan memohon Perintah Letak Hak daripada Mahkamah Tinggi Malaya untuk memindahkan aset dan liabiliti perbankan pengguna Citi kepada UOB Malaysia.
“Pengambilalihan ini dijangka selesai pada suku keempat 2022,” katanya dalam kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu, UOB dan Citigroup mengumumkan cadangan pengambilalihan berkenaan pada 14 Januari 20221.
Jelasnya, selepas selesai pengambilalihan, semua perniagaan perbankan runcit dan kad kredit pengguna Citi Malaysia akan dipindahkan ke UOB Malaysia.
“Semua kakitangan perbankan pengguna Citi Malaysia yang berkaitan dan juga kakitangan sokongannya juga dijangka akan berpindah ke UOB Malaysia,” katanya. – UTUSAN










