Lebih RM10 juta nilai tambah dijana melalui ICP

Lebih RM10 juta nilai tambah dijana melalui ICP

PESERTA program ICP melawat Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM10 juta nilai tambah berjaya dijana melalui perolehan dua unit stesen janakuasa arang batu super kritikal ultra 1000MW melibatkan penyedia Program Kolaborasi Industri (ICP), Toshiba Energy Systems & Solution Corporation (TESSC).

Projek yang telah dianugerahkan kepada Jimah East Power (JEP) oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) pada 2014 telah disyaratkan untuk mematuhi keperluan ICP yang digariskan di dalam Pekeliling Perbendaharaan mengenai Dasar dan Garis Panduan Program Of set dalam Perolehan Kerajaan (kini dikenali sebagai Dasar ICP).

Technology Depository Agency (TDA), agensi yang telah diberi mandat oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk mengurus, mentadbir, dan memantau pelaksanaan ICP telah dilantik bagi mentadbir perkhidmatan pengurusan of set bagi projek ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr. Sharoul Jambari berkata, tanggungjawab yang telah diberi memerlukan pihaknya memastikan pelaksanaan ICP mematuhi keperluan rangka kerja dasar.

“Program ICP bagi Projek Stesen Janakuasa 3B ini merangkumi pemindahan teknologi daripada TESSC kepada JEP, TNB REMACO dan TNB ILSAS dalam usaha untuk membangunkan kepakaran tempatan melalui latihan simulator di Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz.

“Melalui program ini, TESSC perlu membekalkan simulator, pemindahan teknologi dan pengetahuan, serta latihan pembangunan kapasiti kepada universiti dan institutsi latihan tempatan.

“Setelah menandatangani perjanjian, TESSC telah mencadangkan tiga Projek ICP dengan janaan nilai yang melebihi RM 10 juta dan memenuhi kesemua keperluan yang digariskan,” katanya dalam kenyataan.

Projek ICP yang pertama melibatkan pembekalan, pembangunan, ujian dan pentauliahan latihan simulator.

Pentauliahan latihan simulator ini telah menjimatkan kos sebanyak RM8 juta hasil daripada pelaburan pembelian simulator di stesen janakuasa tempatan.

Dengan kebolehan untuk menghasilkan ramalan keputusan yang lebih tepat dan memberi penjimatan, kos operasi dan penyelenggaraan dijangka akan dikurangkan antara sepuluh hingga lima belas peratus, iaitu kira-kira RM500,000 sehingga 2023.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOF, Datin Rashidah Mohd. Sies dalam ucapan perasmian berkata, MOF menyokong aspirasi pelaksanaan Dasar dan Garis Panduan ICP.

“Ia bagi memastikan nilai tambah untuk setiap perbelanjaan yang digunakan melalui perolehan kerajaan agar ia boleh membantu membangunkan industri tempatan, meningkatkan keupayaan teknikal, mempercepat penerima gunaan teknologi, serta mengurangkan kebergantungan negara kepada kepakaran asing.

“Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari, ICP boleh dimanfaatkan dengan memberi fokus kepada inisiatif yang menambah nilai bagi menyokong ekonomi kitaran dan menggalakkan kerjasama dengan para pemain industri ke arah penerima gunaan penghasilan yang lestari dan bertanggungjawab,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×