Moratorium bergantung kepada pihak bank

Moratorium bergantung kepada pihak bank

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemberian moratorium khas kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bergantung kepada kepada pihak bank, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak dapat membuat keputusan mengenai perkara tersebut sebaliknya boleh membuat dasar-dasar yang menggalakkan ke arah memberi membantu kepada rakyat.

Katanya, moratorium secara keseluruhan (blanket moratorium) tidak berkesan untuk situasi ekonomi ketika ini kerana bank-bank perlu menyokong perniagaan mereka supaya boleh bertahan.

“Pertumbuhan ekonomi melibatkan beberapa faktor seperti pertumbuhan pinjaman dan kita melibat bank telah banyak memberi pinjaman semasa pandemik termasuklah kepada PKS.

“Moratorium pada mulanya diperkenalkan semasa ekonomi negara berdepan kesukaran. Walau bagaimanapun kini, ekonomi negara tumbuh dengan kukuh termasuklah dengan peningkatan penggunaan domestik, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan moratorium khas bagi sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Ismail Sabri berkata, beliau akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan beberapa kementerian terlibat sebelum membuat keputusan.

Mengulas dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sebagai tidak berkesan kerana harga barang masih meningkat dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan lagi, Tengku Zafrul berkata, OPR masih rendah berbanding sebelum negara dilanda Covid-19 pada 2020.

“OPR kekal akomodatif. Ia telah meningkat, tetapi kekal lebih rendah daripada sebelum pandemik.

“Kadar inflasi berada pada tahap 2.8 peratus untuk tujuh bulan pertama pada 2022. Jumlah tersebut adalah rendah berbanding negara-negara lain di rantau ini,” ujarnya.

Tambah beliau, adalah wajar untuk harga barang meningkat apabila ekonomi berkembang berikutan permintaan yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×