BANGI: Reliacraft Dagangan Sdn. Bhd. (Reliacraft Dagangan) mengukuhkan lagi segmen pemasarannya apabila dilantik pengedar peralatan dan perkakasan jenama Milwaukee bagi kegunaan dalam segmen pelbagai industri.
Lantikan itu sekali gus membuktikan keyakinan pihak prinsipal, Milwaukee yang merupakan jenama global bagi pelbagai jenis perkakasan tangan (tools) industri terhadap Reliacraft Dagangan.
Reliacraft Dagangan merupakan anak syarikat Reliacraft Group, syarikat milik bumiputera yang menjurus pada bidang perkhidmatan berkaitan gas dan petroleum serta memiliki portfolio meluas dalam pelbagai segmen termasuk kejuruteraan, pembinaan, keselamatan dan pertahanan.
Pengurus Reliacraft Dagangan, Muhammad Shafii Jaafar berkata, pelantikan sebagai pengedar bagi jenama global yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu mengukuhkan lagi segmen pasaran syarikat berkenaan.
“Milwaukee merupakan antara peneraju dalam teknologi perkasasan tangan tapi berbanding pesaing lain kelebihan produknya kerana menggunakan bateri pintar berteknologi tinggi yang boleh dicaj semula.
“Penggunaan bateri menggunakan konsep tenaga diperbaharui ini juga merupakan evolusi baharu dalam bidang kejuruteraan tinggi selain menjimatkan pada jangka panjang berbanding elektrik,” katanya.
Milwaukee mempelopori penggunaan teknologi bateri jenis lithium-ion pada perkakasan tangan selain yang pertama membangunkan kejuruteraan pek bateri untuk semua jenis perkakasan keluarannya, menjadikan ia mudah dibawa.
Muhammad Shafii berkata, buat permulaan Reliacraft Dagangan memasarkan lima produk Milwaukee bagi rangkaian MX Fuel iaitu perkakasan dan peralatan yang menggunakan pek bateri lithium-ion berteknologi tinggi.
Jelasnya, lima perkakasan tersebut adalah MX Fuel Cut Off Saw, MX Fuel Hex Breaker, MX Fuel Core Drill , Milwaukee Tower Light dan Milwaukee MI18 Job Site Light.
“Fokus pasaran terutamanya pada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya, pasukan polis, tentera dan lain-lain agensi berkaitan.
“Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam pemasaran dan perkhidmatan pada agensi kerajaan, Reliacraft Group mempunyai kemahiran selain menawarkan khidmat lepas jualan yang diyakini pengguna,” ujarnya. – UTUSAN









