Syarikat China punca Plaza Rakyat terus terbiar - Utusan Malaysia

Syarikat China punca Plaza Rakyat terus terbiar

Keadaan Plaza Rakyat yang kelihatan usang sejak projek itu terbengkalai pada 1997. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar China yang masih menutup sempadan akibat Covid-19 dipercayai menjadi antara punca projek pembinaan Plaza Rakyat di sini terus terbiar.

Ini berikutan projek tersebut dipercayai dimiliki sebuah syarikat yang berpangkalan di China dikenali sebagai Debao, yang disenaraikan di Bursa Singapura.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun bagaimanapun berkata, beliau tidak pastikan sama ada syarikat itu mempunyai rakan kongsi atau sebaliknya di negara ini.

Justeru, katanya, status mengenai projek yang sepatutnya siap pada 2007 itu masih belum jelas lagi berikutan perlu menunggu pemaju terbabit datang ke negara ini.

“China masih tidak membuka sempadan, maka pemaju tak dapat datang ke Malaysia, jadi perlu tunggu mereka datang sebab kita pun tak boleh nak menghubungi mereka,” katanya ketika ditemui, di sini.

Jumaat lalu, akhbar ini melaporkan keadaan bangunan tersebut terbiar dan semakin usang sekali gus timbul persoalan sama ada ia masih belum dibangun atau perlu dirobohkan.

Bangunan yang sepatutnya siap pada 2007 dirancang dengan ketinggian 382 meter dan ruang seluas 6.6 juta kaki persegi serta mempunyai pelbagai kemudahan, namun ia mula terbengkalai sejak 1997 apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi.

Pada 2015, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk menyelesaikan masalah 211 pembeli projek Plaza Rakyat dan Profit Consortium Sdn. Bhd. dilantik menggalas tanggungjawab memulihkan bangunan itu yang dirancang bakal mempunyai empat bangunan pencakar langit di tapak projek tersebut.

Dalam pada itu, Kui Lun berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya memainkan peranan lebih tegas bagi menangani projek berkenaan supaya ia dapat diteruskan, meskipun tanah persendirian.

“Dengan projek yang sudah terbiar lebih 20 tahun, DBKL patut buat sesuatu sebab sebelum memberi kelulusan, mesti ada syarat tertentu kepada pemaju untuk siapkan projek dalam satu tempoh.

“Saya juga akan membangkitkan isu projek ini dalam Sidang Dewan Rakyat Oktober ini supaya kita dapat tahu bagaimana kedudukan projek ini dan bilakah ia akan siap.

“Projek pembinaan itu perlu diselesaikan secepat mungkin sebab ia bagus untuk Kuala Lumpur, lagi pula ia sudah ada kerangka bangunan, tetapi perlu dipastikan sama ada masih selamat atau tidak untuk meneruskan pembinaan bangunan tinggi.

“Harapnya tahun depan boleh mula projek itu dan 2028 bangunan itu dapat siap,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×