AIM 23: Kualiti atasi populariti

AIM 23: Kualiti atasi populariti

BARISAN penyanyi yang menyinar pada malam kemuncak AIM 23.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMPAMA rumah sudah siap, tapi pahat masih berbunyi, penganjuran Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 yang melabuhkan tirainya, malam kelmarin juga tidak terlepas daripada situasi itu.

Cakap-cakap yang masih berbunyi di belakang, menandakan betapa sukarnya memuaskan hati semua pihak. Apatah lagi, keputusan senarai pemenang AIM 23 membabitkan aspek teknikal yang mungkin rumit untuk difahami ramai.

Malah, dek ketidakpuasan hati, ada pihak menyifatkan penganjuran AIM kali ini kurang menyengat dan sudah hilang taringnya, apatah lagi acara itu kembali selepas lima tahun penggiat seni muzik menunggu.

Sebagai contoh, lokasi penganjuran turut mencetuskan pertikaian apabila segelintir pihak kurang berpuas hati dengan keadaan ruang yang sempit, selain beberapa faktor yang menggugat prestij acara itu.

Berbalik kepada isu ketidakpuasan hati, terutama berkaitan pemilihan senarai pemenang, Ketua Juri AIM 23, Datuk Mokhzani Ismail, sedia maklum dengan perkara yang dibangkitkan.

Baginya, pertikaian terhadap keputusan yang dibuat panel juri tidak sewajarnya timbul kerana proses penjurian telah diperhalusi dengan sebaik mungkin.

“Bias? Tidak ada. Sebenarnya, semua yang menghantar pencalonan datang dengan karya yang bagus mewakili kategori masing-masing.

“Apabila diperhalusi, dari situ kita dapat lima terbaik. Kita nobatkan pemenang tanpa mengetahui mereka dari label mana atau siapa penyanyi tersebut. Disebabkan itu, berlaku kejutan contohnya, pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) yang diraih Arddley Nicholas.

“Dia tidak begitu menyerlah dalam industri, tetapi diangkat sebagai pemenang. Kriteria pemenang bagi setiap kategori diperincikan dan diperhalusi oleh barisan juri bertauliah serta pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Mokhzani berkata, untuk kategori Album Terbaik pula, dia tidak menafikan fokus utama dalam menilai sesebuah album adalah kualiti penghasilan, terutama dari sudut penciptaan lagu.

“Tentulah, susunan lagu mempunyai kriteria tersendiri. Namun, untuk Album Terbaik, paling utama adalah penciptaan lagu itu. Adakah ia mengikut citarasa masa kini?

“Boleh dikatakan album Yonny menang tipis. Cuma, apabila diperhalusi, kita angkat Yonnyboii sebagai bintang yang dirasakan membawa imej dan konsep baharu, walaupun albumnya tidak menang untuk kategori susunan muzik.

“Namun, Yonny mempunyai kelebihan dari sudut penghasilan kualiti nyanyian, penciptaan lagu dan konsep album yang dibawa,” katanya.

Jelas Mokhzani lagi, tugas barisan juri juga tidak mudah kerana kesemua karya yang dihantar mempunyai kekuatan masing-masing. Hal itu semestinya memberikan cabaran dan menguji 85 juri yang terlibat.

“Penjurian bukan dilakukan dalam masa yang singkat. Hampir 13 hari juga dihabiskan untuk menilai semua kategori. Bayangkan, untuk kategori Album Terbaik sahaja, kami ambil masa sehingga tiga hari kerana ada lebih kurang 40 album untuk dinilai.

“Kategori Lagu Terbaik pula, selain melihat pada kualiti ciptaan, keserasian vokal juga dititikberatkan. Kemenangan berpihak kepada Ernie Zakri dan Syamel menerusi lagu Goodbye Hello kerana kemantapan vokal dan kekuatan komposisi lagu itu.

“Ia dilihat menepati kerana sesuai dengan objektif kami iaitu mencari kualiti dalam sesebuah karya,” katanya.

KUALITI MUZIK MENINGKAT

Sementara itu, tambah Mokhzani, dia menyarankan semua pihak menghormati keputusan pemenang. Katanya, setiap pertandingan memiliki ciri atau konsep penjurian yang berbeza dan ia tidak seharusnya menjadi pertikaian.

“Lain pertandingan, lain pula cara penjurian. Contoh, Anugerah Juara Lagu (AJL), konsepnya lain. AIM juga berbeza kerana setiap kategori diperincikan dengan melibatkan banyak aspek teknikal. Jadi, usahlah samakan dengan mana-mana pertandingan lain.

“Sekali lagi saya tekankan, untuk AIM, kami mementingkan kualiti mengatasi populariti. Kita lihat banyak aspek dan bukan berdasarkan populariti semata-mata. Saya fikir, ia sesuatu yang cukup baik dalam industri muzik.

“Walaupun kita dalam peralihan ke fasa endemik, kualiti muzik tempatan terus dipertingkatkan. Saya yakin, sekiranya momentum ini dikekalkan, industri muzik kita akan berada pada tahap lebih tinggi,” katanya.

Tambah Mokhzani lagi, dia juga berharap agar semua pihak membuka mata kerana selama penganjuran AIM, platform pertandingan ini telah membuka peluang buat semua pemain industri di belakang tabir untuk mempertaruhkan karya mereka.

“Kebiasaannya, kita cuma ketengahkan artis sahaja dalam kebanyakan pertandingan muzik. Tetapi di AIM, kita buka peluang buat semua penggiat seni yang terlibat dalam penghasilan sesebuah karya untuk sama-sama mempunyai peluang menang.

“Kita mahu memberi pengiktirafan kepada mereka mengikut kategori yang dipertandingkan. Juri yang berada di belakang tabir pula datang daripada pelbagai bidang kepakaran masing-masing dan mereka memiliki kredibiliti untuk menilai,” katanya.

Kemuncak AIM 23 menyaksikan album Yonny (Deluxe Version) dinobatkan sebagai pemenang kategori Album Terbaik. Kemenangan itu melayakkan Yonnyboii membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik berjumlah RM200,000 yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) sebagai galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik.

Lagu Terbaik pula dimenangi oleh Ernie Zakri dan Syamel menerusi Goodbye Hello, melayakkan mereka membawa pulang DKD berjumlah RM50,000.

DKD dengan jumlah yang sama turut dibawa pulang Vanessa Reynolds apabila mengungguli kategori Artis Baharu Terbaik.

Sementara itu, Gatal dendangan Janna Nick pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Video Muzik Terbaik yang meraih DKD berjumlah RM20,000 serta trofi.

Kemenangan besar diraih penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi album Belagu apabila lagu Tudung Periuk dinobatkan sebagai pemenang Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu Rakaman, selain Rakaman Album Terbaik.

AIM 23 turut mengiktiraf penasihat syarikat rakaman SRC, Tan Su Loke sebagai penerima Anugerah Wirama atas sumbangan dan jasanya dalam industri muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×