Dirgahayu tiga dekad Dewa 19 - Utusan Malaysia

Dirgahayu tiga dekad Dewa 19

Ruang Axiata Arena dipenuhi dengan jeritan Baladewa, Baladewi yang teruja menyaksikan persembahan daripada kumpulan kegemaran mereka.– Ihsan @echolaliapictures
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Puas, berbaloi dan malam yang akan tersemat dalam ingatan. Itu yang dapat diungkapkan selepas menonton konsert 30 Years of Dewa 19, Jumaat lalu.

Tiga dekad memahat nama, kumpulan terkenal negara seberang, Dewa 19, pastinya boleh dikatakan seperti ‘makan kacang’ ketika melakukan persembahan secara langsung di hadapan ribuan peminat.

Hampir 9,000 pencinta band berkenaan membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semestinya ia meninggalkan memori cukup indah yang tidak boleh dijual beli.

Pada malam itu, ada kata-kata ringkas yang disampaikan vokalis, Ahmad Dhani buat Baladewa yang tidak pernah ‘bosan’ memberikan sokongan sejak Dewa 19 ditubuhkan pada 1992.

Katanya, mereka menjanjikan konsert tersebut berbeza, berbanding persembahan yang pernah mereka sajikan kepada penonton.

“Ternyata di sini berbeza dengan Indonesia, ramai sangat hari ini. Gemuruh sekali tepukan daripada semua.

“Ini juga adalah 30 tahun kami bersama dan oleh kerana itu, kami tidak akan menyanyikan 30 lagu, sebaliknya lebih 35 lagu.

“Bagi yang belum meminati Dewa 19, harap bersabar dan tunggu sehingga habis konsert kerana ia berbeza daripada konsert kami sebelum ini,” katanya penuh teruja.

Abadikan tiga dekad
“Syukur saya dapat menyanyi untuk teman-teman di Kuala Lumpur. Terima kasih semuanya. Dewa 19 ada di sini untuk kalian semua!

“Kalau bukan disebabkan sokongan kalian, kami tidak akan jadi seperti hari ini.”

Itu antara ucapan dilontarkan vokalis popular, Ari Lasso dengan penuh rasa teruja di atas pentas gah itu.

Kali terakhir mengadakan konsert di Malaysia pada 2019, kemunculan terbaru mereka membuatkan peminat ‘melekat’ sehingga tamat persembahan. Kerinduan sekian lama terubat melihat aksi mereka secara langsung.

Menyajikan dua segmen, peminat setia bersama-sama untuk menyanyi sehingga menggegarkan seluruh Axiata Arena sepanjang konsert berlangsung.

Ditambah pula dengan persembahan all out daripada setiap vokalis, Dewa 19 berjaya menyebarkan aura legenda yang membuatkan ramai terus jatuh cinta dan larut dalam lautan emosi.

Sound system dan penataan cahaya mengesankan membantu persembahan mereka rancak dan hidup.

Malam itu, malam galau buat pencinta Dewa 19 menerusi barisan lagu dipersembahkan.

Bertenaga, Mantap
Tepat 8.30 malam, selama lebih tiga jam berlangsung, penonton dapat menyaksikan empat vokalis terkenal bergilir-gilir naik ke pentas menyampaikan hampir 40 lagu hit dengan penuh tenaga.

Virzha dan Ello membuka tirai konsert dengan menyampaikan lagu Restoe Boemi, I Want To Break Free serta Still I Am Sure We’ll Love Again.

Mereka meneruskan persembahan dengan lagu hit mereka seperti Aku Milikmu, Larut, Bunga, Selatan Jakarta, Aspirasi Putih, Takkan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang, Juliette dan Careless Whisper.

Pentas seterusnya diambil alih Once Mekel yang muncul membawakan lagu Roman Picisan, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Arjuna, Dewi, Lagu Cinta, Dua Sejoli dan Mistikus Cinta.

Ahmad Dhani kemudian pula terus memanaskan suasana dengan lagu Sedang Ingin Bercinta, Hadapi Dengan Senyuman dan Angin.

Malam kian gamat apabila vokalis yang ditunggu-tunggu, Ari Lasso muncul mempersembahkan lagu Cinta Kan Membawamu Kembali, Elang, Aku Di Sini, Satu Hati, Cukup Siti Nurbaya, Kirana, Kangen dan Kamulah Satu Satunya.

Lagu lain dipersembahkan pada malam pertama konsert adalah Pangeran Cinta, Pupus, Satu, Angin, Cemburu dan Risalah Hati.

Dewa 19 melabuhkan tirai dengan membawa naik semua vokalis untuk sama-sama menyampaikan lagu penutup, Separuh Nafasku.

Bagi malam kedua kelmarin, mereka berjanji memberikan tenaga yang sama seperti konsert hari pertama yang membawa pencinta Dewa 19 pulang dengan 1,001 kemanisan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×