PKCT bakal pacu sektor pelayaran

PKCT bakal pacu sektor pelayaran

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Port Klang Cruise Terminal (PKCT) disaksikan oleh Wee Ka Siong (dua, kanan), Amirudin Shari (kanan) dan Azman Shah Mohd. Yusof di Pelabuhan Klang, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pengambilalihan dan penjenamaan Port Klang Cruise Terminal (PKCT) bakal memacu pertumbuhan sektor pelayaran dan pembangunan Pelabuhan Klang secara keseluruhannya.

PKCT merupakan terminal pelayaran antarabangsa yang kini dimiliki Klang Port Management Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) dan Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports).

Pengerusi PKCT, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, kedua-dua pihak memeterai kerjasama mengambil alih pegangan saham Boustead Cruise Centre Sdn. Bhd. (BCC) pada nisbah 50:50 daripada Boustead Holdings Bhd (Boustead) pada Disember 2019.

“Susulan pengambilalihan itu, pemilik baharu melaksanakan penjenamaan semula dan terminal berkenaan kini dikenali sebagai PKCT.

“Menerusi pemilikan dan pengurusan baharu, PKCT akan dipacu bagi pertumbuhan sektor pelayaran dan berdaya saing menjadi destinasi kapal persiaran terkemuka di Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian terminal itu yang berkenan disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Pulau Indah di sini, semalam.

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima cenderamata daripada Azman Shah Mohd. Yusof (dua, kanan) selepas pelancaran Port Klang Cruise Terminal (PKCT).

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Jelas beliau, Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) untuk pemerolehan BCC kemudian dimeterai selepas semua syarat dipenuhi pada 23 September 2021 dan hak milik berpindah kepada Northport dan Westports.

Dalam pada itu, Azman Shah memaklumkan akan berbincang dengan kerajaan mengenai rancangan bagi pelan pengembangan masa depan PKCT termasuk hasrat menambah dermaga bagi membolehkan lebih banyak kapal persiaran berlabuh di sini.

Tambah beliau, terminal yang terletak di lokasi strategik itu mampu mengendalikan kapal persiaran moden dan kapal armada tentera laut menerusi reputasi cekap perkhidmatan pelabuhan.

“Terminal lima tingkat itu dilengkapi kemudahan bagi keselesaan penumpang termasuk jambatan, laluan pejalan kaki berbumbung, mesin ATM, kaunter tukaran mata wang asing, zon wifi dan pelbagai kedai.

“Selain itu, PKCT memperkenalkan tarikan baharu iaitu ‘Cruise Day Fiesta’ yang menampilkan kendera saji (trak makanan), pameran seni dan kraf serta persembahan tarian tradisional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×