MIBS, pameran perdagangan dijangka jana impak ekonomi RM170j

MIBS, pameran perdagangan dijangka jana impak ekonomi RM170 juta

DARI kiri: Chong Chong Tik; Timbalan Presiden MACITA, Prof Datuk Naim Mohamad, Presiden Seumur Hidup MACITA, Puan Sri Susan Cheah dan Noor Ahmad Hamid bergambar pada Majlis Pra Pelancaran MIBS Ke-17 di Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia Ke-17 (MIBS) dan pameran perdagangan lain yang akan dilaksanakan secara serentak pada Disember depan dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM170 juta sepanjang acara tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Noor Ahmad Hamid berkata, penjanaan tersebut juga akan diperoleh melalui Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia ke-33 (MIMF) dan Pameran Penjenamaan Malaysia Pertama (MyBrands) yang diadakan bersama Pameran Eksport Zhejiang kelapan (Malaysia) 2022.

Katanya, pameran yang dianjurkan oleh Persatuan Perhubungan Perdagangan Antrabangsa China Malaysia (MACITA) yang berlangsung antara 1 hingga 4 Disember tersebut dijangka menampilkan kira-kira 250 pempamer yang sebahagian besarnya adalah dari China.

“Pempamer dari negara lain termasuk Korea Selatan, Thailand, Sepanyol, Taiwan, Indonesia dan Filipina. Pameran ini akan melibatkan 3,000 pembeli dan 30,000 penjunjung dari serata dunia.

“Perkembangan ini amat baik kepada ekonomi dan pelaburan negara dapat juga merancakkan pertumbuhan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dengan peluang-peluang perniagaan yang ditawarkan,” katanya pada majlis pra pelancaran ketiga-tiga pameran tersebut di sini, hari ini.

MIBS ke-17 serta MyBrands dan Pameran Eksport Zhejiang ke-8 (Malaysia) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Disember ini, manakala MIMF berlangsung pada 1 hingga 3 Disember di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC).

Sementara itu, Presiden MACITA, Datuk Chong Chong Tik berkata, sejajar dengan normal baharu pameran perdagangan, pemeran-pameran tersebut akan berlangsung dengan format hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian.

“Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) atas sokongan penuh penganjuran acara-acara ini.

“Dengan inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) kepada pempamer serta sokongan daripada agensi kerajaan yang berkaitan serta lebih 100 persatuan berkaitan, saya yakin pameran-pameran ini akan berjaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×