Karnival Saham di Kompleks Yayasan Pahang 

Karnival Saham di Kompleks Yayasan Pahang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) bersama Yayasan Pahang bakal menganjurkan Karnival Saham Pahang Bersama Bursa Malaysia 2022 pada esok  di Kompleks Yayasan Pahang.

Karnival yang bertemakan “Labur Hari Ini Untuk Mampan Masa Hadapan” tersebut bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan melabur awal dengan yakin dan bertanggungjawab dalam pasaran saham.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, tumpuan utama karnival ini adalah program pendidikan pelaburan Bursa Malaysia iaitu Sens-Ability yang memberi fokus kepada celik kewangan, pengurusan wang peribadi, bajet, simpanan, pandangan pelaburan dan penipuan kewangan.

Katanya, orang ramai juga boleh mempelajari cara-cara mengenali skim pelaburan palsu dan melabur dalam pasaran saham.

“Saya berasa teruja dengan kerjasama yang dijalankan bersama Yayasan Pahang yang bertujuan memupuk tabiat melabur yang baik di peringkat awal dalam kalangan Rakyat.

“Celik kewangan adalah penting untuk dipelajari supaya kita lebih berhati-hati dalam pelaburan dan tidak menjadi mangsa penipuan kepada skim pelaburan palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya yakin program Karnival Saham Pahang itu mampu memberi kesedaran awal kepada sebahagian masyarakat Pahang, terutamanya penduduk di daerah Kuantan.

“Saya berharap orang ramai akan mengambil peluang ini untuk membuka akaun CDS yang ditawarkan secara percuma khas untuk warga Pahang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bursa Malaysia memberitahu, antara rakan acara yang dijangka turut mengambil bahagian adalah AmInvestment Bank, CGS CIMB Securities, Malacca Securities, Public Investment Bank dan RHB Investment Bank.

Selain memberi taklimat mengenai topik berkaitan pelaburan dalam pasaran saham, baik konvensional mahupun patuh syariah, syarikat-syarikat tersebut juga turut menyediakan khidmat pembukaan akaun CDS secara percuma.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×