‘Jika masih degil, kita lawan saja’

‘Jika masih degil, kita lawan saja’

NURIDAH ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia, Aqilah Mior Kamarulbaid di kediamannya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MENJADI ahli Pas sejak 1982 sudah cukup mematangkan Ketua Muslimat Pas, SENATOR NURIDAH MOHD. SALLEH dalam selok-belok politik tanah air. Oleh kerana itu, beliau terus berjuang kerana mahu generasi hari ini dan akan datang dapat menikmati kemakmuran serta keharmonian negara.

Beliau yang juga senator mewakili Terengganu di Dewan Negara berharap kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) masih dapat diteruskan demi perpaduan ummah.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurugambar, SHIDDIQIN ZON di kediamannya baru-baru ini, beliau tidak menyorok atau berbasa-basi, sebaliknya tegas mahu bangsa Melayu/Islam dominan di tanah air sendiri.

Beliau berharap negara tidak lagi ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) kerana tempoh 22 bulan sebelum ini sudah cukup mengajar dan tidak menyeronokkan.

UTUSAN: Boleh kongsikan agenda Muslimat dalam Muktamar Pas kali ini?
NURIDAH: Kali ini fokus utama adalah penyatuan ummah. Kita melihat betapa peri pentingnya parti terutama dalam suasana negara menghadapi agenda pemilihan pemimpin dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Dengan pengalaman yang negara lalui di bawah PH, bagi orang Pas sangat tidak menyeronokkan ketika itu.

Bagi saya amat penting orang Melayu/Islam mengutamakan perpaduan ummah demi survival negara dan anak cucu.

Dalam pada itu, kita turut mengangkat usul-usul penting untuk dibahaskan oleh perwakilan melibatkan kemaslahatan rakyat seperti tambahan cuti kakitangan kerajaan yang kematian suami dan penambahbaikan proses pentadbiran harta pusaka.

Ada cadang agar parti menambah bilangan calon wanita dalam PRU15 nanti?
Calon Muslimat dalam PRU14 adalah seramai 38 orang sama ada di Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri). Memang harapan kita selari dengan cadangan daripada pemimpin wanita daripada parti-parti politik lain seperti PKR atau DAP yang mahu mengangkat wanita dalam kadar 30 peratus.

Kita bersetuju, namun sebagaimana yang dimaklumkan, Pas sebenarnya sudah lama mengangkat wanita. Cuma untuk kali ini kita tengok bagaimana.

Apa kata barisan kepimpinan?
Setakat ini dalam beberapa siri PRU sebenarnya sentiasa ada tambahan calon wanita. Untuk kali ini, kita akan lihat bagaimana kerana kita bersama parti-parti lain, tidak seperti sebelum ini.
Walau bagaimanapun, hasrat tersebut telah dimaklumkan oleh pihak kepimpinan. Kita realistik mengenai pilihan calon.

Janji Muslimat sekiranya cadangan penambahan calon wanita diterima?
Muslimat dan wanita sentiasa bersemangat. Jika dilihat mana-mana parti, wanita sangat ke depan dalam melaksanakan gerak kerja, meraih undi dari rumah ke rumah, membuat kebajikan, menghantar barang-barang sumbangan. Wanita memang tangkas. Dalam hal ini, Muslimat akan terus bekerja keras terutama dalam mendepani PRU15 dan pada bila-bila masa sekali pun. Jika berlaku bencana, Muslimat sentiasa turun padang membantu rakyat selain terus memberi fokus utama berbakti untuk rakyat kerana komitmen ini adalah satu amanah.

Sudah ada calon wanita berkaliber yang boleh diangkat?
Calon Muslimat pada PRU14 adalah 38 orang di Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri). Memang harapan kita selari dengan cadangan pemimpin wanita dari parti-parti politik lain seperti PKR atau DAP yang mahu mengangkat wanita dalam kadar 30 peratus.

Setakat ini masih tidak mengetahui siapa calon yang akan bertanding tetapi insya-Allah, Muslimat tidak ketandusan calon berkelayakan.

Kriteria calon Muslimat?
Calon mesti membawa imej Pas yang berintegriti, berkebajikan, inklusif iaitu terbuka semua segmen masyarakat.

Jika dilihat parti-parti lain ada nama besar bagi wanita, tetapi Muslimat seperti tidak menonjol. Komen?
Kena tengok media sosial rasmi Pas. Ramai sahaja tokoh-tokoh kita. Mungkin tidak highlight. Pas ada dua senator. Kalau perbahasan RUU (rang undang-undang) di Dewan Negara, kita bangun sampaikan perbahasan.

Kalau di Dewan Rakyat memanglah dari dulu kita ada seorang msahaja iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Siti Zailah Mohd. Yusof tetapi beliau aktif menyampaikan bantuan dan melaksanakan tugasnya. Jika masih ingat, ketika banjir di Johor, Siti Zailah menggerakkan kerjasama strategik antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan usaha ini disebut sendiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kita ada Datuk Mumtaz Md. Nawi, Datuk Siti Ashah Ghazali dan ramai lagi. Kami mungkin ‘tenggelam’ sebab media tidak membuat liputan pasal kita sedangkan suara kami juga kuat ketika menentang isu-isu seperti pakaian pramugari dan pukul isteri. Ataupun sebenarnya sebab kami tidak terpalit dengan kontroversi.

Suara Muslimat juga agak senyap. Sangat jarang kita mendengar hujah-hujah daripada Muslimat lebih-lebih lagi menjelang PRU15. Mengapa?
Tidak ada istilah Muslimat senyap, pendirian Muslimat boleh dilihat di laman rasmi Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) seperti Facebook DMPM dan Facebook Ameerah Malaysia termasuk lidah rasmia Pas, Harakah.

Antara yang terkini kita menyambut baik kelulusan Akta Anti Gangguan Seksual dan Skim Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.
Yang lebih utama adalah kita mementingkan kerja seiring dengan suara. Kita sentiasa turun ke lapangan untuk membantu rakyat.

Bagi pihak saya pula apabila disoal oleh wartawan, saya konsisten kalau boleh mahu selesaikan dulu isu dan kebajikan rakyat. Suasana sekarang tidak sesuai untuk diadakan PRU. Kita minta kerajaan selesaikan pelbagai isu termasuk kemasukan warga asing yang masih tak nak keluar dari Malaysia. Takut pula mereka menjadi pengundi terutama dalam kalangan orang Cina. Saya pernah jumpa seorang Cina yang sudah tinggal di Malaysia selama 10 tahun menuntut diberi kerakyatan. Kita tak mahu pengundi hantu. Itu menakutkan.

Pas adalah parti Islamik tetapi mahu bekerjasama dengan parti-parti yang moderate. Tidak takut perjuangan Pas selama ini akan sia-sia?
Pas bukan baru dalam mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. Sejak awal kemerdekaan lagi Pas telah mengadakan persefahaman politik dengan Parti Negara pada PRU pertama pada 1959.

Pas juga pernah bekerjasama dengan UMNO dalam Perikatan. Pernah juga bekerjasama dengan Semangat 46 selain bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat (PR).

Kita juga pernah bekerjasama dengan Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia). Sekarang pula dengan Perikatan Nasional (PN) yang dalamnya ada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) dan parti-parti lain.

Boleh menang jika terus bekerjsama dengan PN dalam PRU15?
Kalau kita lihat sekarang, parti paling bersih adalah PN. Yang tiada masalah rasuah. Nak kata dari sudut pengalaman, Pas sendiri ada pengalaman mentadbir Kelantan selama 30 tahun. Sekarang (tadbir) Terengganu dan Kedah. Menteri-menteri dan timbalan Menteri Pas walau tidak banyak tetapi perform.

Pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sembarangan. UMNO sendiri cakap begitu. Jika kita lihat ucapan Muhyiddin ketika Konvensyen Perikatan Nasional 2022, beliau berucap seperti seorang Perdana Menteri. Intipati ucapan semua berkaitan kebajikan, survival dan keturunan rakyat. Bukan seperti parti itu yang asyik bercerita tentang Datuk Seri Najib Tun Razak. Seolah-olah dunia ini ada dia seorang sahaja.

Mungkin ada yang lupa PN ambil alih kerajaan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri. Bukannya kami tebuk atap.

Kerajaan hari ini pun masih PN. Alhamdulillah, walaupun PN tadbir negara tanpa manifesto tetapi rakyat boleh rasa (bantuan dan kebajikan). Ketika itu Covid-19, rakyat tidak boleh keluar mencari rezeki. Berapa juta kerajaan keluarkan duit untuk membantu rakyat? Sedangkan PH sebelum ini mengatakan negara tiada duit, siap buat tabung dan akhirnya ke mana duit-duit tersebut?

Hasil negara sebenarnya banyak. Jika diagih dengan betul, tak ada orang miskin. Jadi, Pas yakin untuk terus bersama PN. Kami tiada masalah dengan gabungan ini kerana ia bersih-sebersihnya. Rakyat juga melihat kami buat kerja.

Jadi, mengapa terus berharap pada UMNO?
Perpaduan ummah bukan agenda parti, ia perintah daripada Allah SWT dan Pas yang bermatlamat untuk mendaulatkan Islam, merujuk al-Quran dan sunnah serta ulama. Maka tak boleh lari ke mana-mana. Itu yang diajar, yang dituntut, yang diperintah oleh al-Quran.

Sepotong ayat al-Quran bermaksud: “Hendaklah kamu semua berpegang dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah belah”. Jadi, macam mana nak buat?

 

KETUA Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) beramah mesra dengan Ketua Muslimat Pas, Nuridah ketika hadir di Muktamar Dewan Muslimat Pas Ke-58 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) pada 2018.

Kenapa tidak dengan parti-parti Melayu lain?
Pas sudah ada pengalaman dengan PKR dan DAP. Pas tolong PKR, kami rasa macam anak tangga, daripada mereka tiada apa-apa. Begitu juga dengan DAP.

Siapa yang keluarkan Pas? DAP yang tolak kita mula-mula di Sabah. Dengan UMNO pun begitu. Bila sudah kuat, Pas dilupakan.

Masa takut 13 Mei, mereka datang kepada Pas. Kita ada hujah bukan hawa nafsu. Macam kata Datuk Idris Ahmad, Pas berpolitik untuk mati, untuk berdepan dengan soalan Allah SWT nanti, bukan habis kat dunia.
Mungkin sebab tu orang kata tak serik-serik ke Pas ni? Tapi macam mana Islam ajar, macam tu kita buat. Dan bila sudah berazam maka bertawakkal.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pernah berkata siapa nak kawan mari sini, sapa nak lawan tunggu. Jika UMNO masih degil, asyik fikir jawatan sahaja, maka kita lawan sahaja.

Setakat ini, usaha akan diteruskan selagi belum PRU. Bila masa Melayu/Islam nak dominan sedangkan ini negara kita? Kita hanya mahu fikirkan masa depan zuriat dan keturunan kita. Perlu fikir untuk jangka panjang. Contoh Singapura, asalnya tanah Melayu tetapi terlepas kepada bangsa lain. Tak kan kita tidak serik dan mahu jadi seperti mereka?

Untuk golongan veteran, memang apa yang ada sekarang sudah cukup tetapi anak cucu dan cicit kita nanti, bagaimana? Kerana itu Pas masih terus berusaha untuk perpaduan ummah.
Kita tak mahu kembali kepada 22 bulan pentadbiran PH. Ia cukup mengajar. Jadi, kalau mahu kerjasama, jangan anggap diri abang long. Nama pun kerjasama, jadi kerjasamalah.

Jadi, agenda penyatuan ummah akan diteruskan melangkaui kepentingan parti dan individu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×