Garis Masa Raihan ubat rindu peminat - Utusan Malaysia

Garis Masa Raihan ubat rindu peminat

Che Amran (kiri), Amran dan Abu Bakar (kanan) ahli asal yang masih kekal bersama kumpulan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKA teki peminat tentang bila agaknya kumpulan nasyid legenda tanah air, Raihan akan membuat sebuah konsert mega terjawab selepas kumpulan itu baru-baru ini mengumumkan akan mengadakan sebuah konsert besar-besaran bertarikh 26 November depan.

Pengumuman itu tentunya membawa kelegaan kepada ratusan ribu peminat Raihan dan muzik nasyid secara amnya yang selama ini menantikan kumpulan legenda itu tampil membuat persembahan mega untuk peminat.

Salah seorang anggotanya, Abu Bakar Md. Yatim, pada sidang media konsert tersebut baru-baru ini berkata kali terakhir Raihan melakukan konsert mega di tanah air adalah kira-kira 22 tahun lalu.

Justeru katanya, konsert kali ini adalah istimewa dan merupakan peluang yang tidak wajar dilepaskan memandangkan mereka juga sudah terlalu lama tidak membuat konsert mega di tempat kelahiran sendiri.

“Ini adalah peluang yang jarang kami terima. Untuk kami mendapatkan tajaan bagi mengan­jurkan konsert dalam negara adalah bukan mudah. Jadi apabila pihak WNS Marketing & Events Sdn. Bhd menawarkan peluang ini, kami terima dan sedia untuk jayakan.

“Kami mahu kembalikan kenangan dengan lagu-lagu yang pernah menjadi siulan peminat ketika mereka masih kanak-kanak. Kami yakin penonton yang hadir nanti akan dapat mengembalikan semula nostalgia apabila mende­ngarkan lagu Puji-pujian, 25 rasul, Syukur dan sebagainya berkuman­dang di stadium Melawati, Shah Alam nanti.

“Jadi kepada peminat yang merindui, datanglah beramai-ramai pada 26 November ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota Raihan, Che Amran Idris memaklumkan bahawa dia tidak menyangka peluang untuk mengadakan konsert di tanah air sendiri berlaku tahun ini.

“Penerbit terkenal, Jennifer Thompson menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Raihan dalam konsert selepas hadir menyaksikan persembahan kami di Panggung Anniversari sempena Festival Garden Of Eid yang berlangsung Mei lepas.

“Dia berpandangan Raihan berpotensi untuk membuat konsert pada tahun ini. Sebulan kemudian, Jenifer hubungi kami semula dan memaklumkan ada pihak yang mahu menaja kami membuat konsert.
“Kami tidak menyangka ada pihak yang sudi menawarkan untuk membuat konsert. Prosesnya berlaku pantas dan sangat mudah,” katanya.

Tambah Che Amran lagi, aktiviti seni Raihan, seperti artis lain turut terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun katanya, ketika itulah teknologi media sosial dimanfaatkan dan membolehkan mereka membuat persembahan secara dalam talian dan dipertontonkan kepada peminat termasuk yang berada di luar negara.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami ada juga membuat persembahan namun dilakukan secara dalam talian sebelum direkodkan dan dipertontonkan di negara-negara luar seperti Afrika Selatan, Toronto dan sebagainya.

“Pada fasa endemik ini, tawaran untuk persembahan secara fizikal secara perlahan-lahan masuk.

“Insya-Allah kami bakal terbang ke Thailand untuk melakukan persembahan di sana dan selepas itu akan ke United Kingdom sekitar Disember atau Januari tahun hadapan,” katanya lagi.
Ditaja syarikat bukan Melayu bukan perkara baharu.

Antara persoalan yang diajukan kepada Raihan adalah tentang kesudian orang bukan beragama Islam yang kedepan, menyuarakan kesediaan mereka untuk menjadi penaja kepada konsert tersebut.

Mungkin ada pihak yang kehairanan dan pelik, di mana orang Melayu Islam dalam menyokong perjuangan dakwah Raihan? Tidak adakah seorangpun yang tampil untuk menaja konsert kumpulan nasyid yang berjasa kepada industri nasyid dan hiburan secara amnya?

Perkara itu tidak dinafikan Abu Bakar, yang mengakui perjuangan dakwah Raihan menerusi muzik juga banyak mendapat sokongan daripada golongan yang bukan beragama Islam.

Justeru katanya, kesudian syarikat WNS Marketing & Events Sdn. Bhd. yang diwakili Jim Liew untuk menaja konsert Raihan nanti bukan satu perkara yang menghairankan.

“Yang sokong perjuangan dakwah Raihan menerusi muzik kebanyakannya golongan bukan Islam. Pada kami, perkara itu adalah fakta dan tidak menghairankan kerana sudah berlaku sejak awal kemunculan kami lagi.

“Contoh, dahulu yang tawarkan Raihan sebagai artis rakaman adalah Tony Fernandez. Begitu juga penerbit, David Teo, yang menghasilkan filem Syukur 21.

“Siapa yang sentuh hati mereka? Yang lintaskan hati mereka untuk sokong perjuangan Raihan. Allah juga,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abu Bakar berkata, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.

Katanya, cukuplah ia sekadar satu pelawaan kepada orang ramai untuk sama-sama menyokong perjalanan dakwah Raihan.

“Kami sebenarnya mengharapkan orang Melayu Islam kita sendiri, yang berkemampuan, untuk bersama-sama menyokong perjuangan Raihan.

“Ramai orang bukan islam yang sokong perjuangan dakwah Raihan menerusi muzik jadi, apabila Jim, seorang yang bukan beragama Islam berminat menaja konsert kami, pada kami itu bukan perkara yang baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×