20 tahun diperlukan untuk pulih Tasik Chini

20 tahun diperlukan untuk pulih Tasik Chini

PEMANDANGAN kawasan hutan yang terjejas akibat aktiviti perlombongan bijih besi berhampiran Jeti Pangkalan Naga, Tasik Chini, Pahang. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tempoh seku­rang-kurangnya 20 tahun diperlukan untuk pemulihan semula rizab biosfera di Tasik Chini yang musnah akibat pencemaran dan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samu­de­ra, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, tempoh itu tidak lama tetapi langkah pemuliharaan hu­tan dan biodiversiti itu perlu dilaksanakan segera.

“Pencemaran kawasan tersebut sehingga memusnahkan eko­sistem tasik semula jadi kedua terbesar negara itu disebabkan oleh isu tadbir urus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, apabila Tasik Chi­ni menjadi tapak Rezab Bios­fera (BR) Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), sepatutnya semua kawasan di sekelilingnya diwartakan untuk pemuliharaan biodiversiti.

Tetapi katanya, agak pelik apabila kerajaan negeri membolehkan perlombongan dijalankan di kawasan tasik itu.

“Ini telah pun berlaku, jadi sekarang isunya ialah sama ada kerajaan Persekutuan dan juga negeri ingin menjaga status BR dan membuat program pemuliharaan semula,” ujar beliau.

Kelmarin, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Tok Batin Kampung Gumum di Tasik Chini, Awang Alok berkata, kesan pencemaran di tasik legenda itu seolah-olah tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan komuniti Orang Asli di situ.

Awang berkata, pengiktirafan UNESCO tidak mengubah nasib malang yang menimpa Tasik Chini apabila hutan di persekitarannya terus ditarah dengan rakus sehingga memusnahkan ekosistem dan menjadikan ia ‘tasik mati’.

Mengulas lanjut mengenai isu tadbir urus, Azizan berkata, sepatutnya perlu ada satu kos berhubung analisis faedah.

“Isu BR ini sama dengan isu Central Forest Spine (CFS) untuk konservasi harimau. Malaysia sebagai pewaris mega-bio mempunyai tanggungjawab bukan saja kepada rakyat negara ini tetapi dunia sejagat untuk menjaga warisan global itu.

“Adalah sedih jika akhirnya generasi kita yang terakhir melihat harimau Malaya pupus,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, Tasik Chini boleh dipulihkan dengan melaksanakan program penghutanan semula dan zon-zon untuk pelancongan serta Orang Asli mencari sumber makanan.

“Semua ini dapat dirancang. Lihat beza antara Bukit Gasing di Petaling Jaya dan sebelahnya Bangsar South. Sebelah Petaling Jaya green lung dan di sebelah Kuala Lumpur hutan konkrit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×