BARANGKALI pengertian Hari Kebangsaan Ke-65 membawa definisi sedikit berbeza, terutama selepas negara melalui pelbagai cabaran dan liku sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Di sebalik ujian dan dugaan itu, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa tetap teguh dan bersatu menghadapinya. Semangat Hari Kemerdekaan tetap menyelinap dalam diri, malah mencambahkan keazaman untuk terus memberikan khidmat bakti buat negara yang tercinta.
Istimewa sambutan kemerdekaan kali ini, kami satukan tiga anak seni, Sharifah Aryana, Aidil Afizin dan Emcee Jesz untuk berkongsi pengalaman hidup dan pandangan mereka tentang makna kemerdekaan sebenar.
Saya bangga jadi anak Malaysia – Sharifah Aryana
Pengalaman menyaksikan jurang perpisahan kaum yang berlaku di United Kingdom (UK) membuatkan pelakon, Sharifah Aryana bersyukur dilahirkan sebagai anak Malaysia.
Aryana, yang beberapa tahun lalu menyambung pengajiannya di sebuah universiti di negara itu berkata, dia terkejut dengan cara hidup sebilangan besar masyarakat di sana yang kurang meraikan konsep satu negara dan lebih selesa berpuak-puak.
“Mereka tidak seperti kita, hidup harmoni meskipun berbilang bangsa dan agama. Sewaktu tinggal di sana, saya jarang melihat orang Inggeris duduk satu meja dengan bangsa lain.
“Seorang rakan saya dari sana terkejut dengan apa yang dilihatnya di negara kita. Dia tidak percaya, orang kita, meskipun berlainan warna kulit, bangsa dan agama, boleh duduk semeja di kedai makan.
“Pengalaman itu membuatkan saya bersyukur kerana dibesarkan di sini dan saya bangga menjadi anak Malaysia,” katanya.
Kata Aryana, keakrabannya bersama rakannya yang berbangsa India dan Cina sering menarik perhatian masyarakat di UK apabila mereka keluar bersama-sama.
“Mereka hairan melihat kami seperti saudara. Pada mereka, bagaimana kami boleh mesra bagai bersaudara sedangkan warna kulit dan rupa kami berbeza?
“Mereka pelik kerana itu bukan amalan di sana,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, pelakon filem Mukhsin ini menolak ideologi politik yang memecahbelahkan bangsa dan agama.
Katanya sebagai selebriti, dia mahu menggunakan ‘suaranya’ untuk mengingatkan masyarakat supaya tidak berpecah kerana perbezaan fahaman politik.
“Kita hidup bersatu. Kita tidak mahu disebabkan perbezaan ideologi politik, kita berpecah.
“Sebagai selebriti, saya mahu gunakan kelebihan itu untuk mengingatkan bahawa kita adalah masyarakat yang bersatu padu.
“Sudah 65 tahun kita merdeka. Jangan biarkan ideologi politik ‘menjajah’ pemikiran kita,” katanya melontarkan pandangan.
Tidak lupa asal usul – Emcee Jesz
Mungkin nama Sujesh Sambasivan kedengaran sedikit asing dalam kalangan masyarakat Melayu.
Realitinya, dia adalah artis Malaysia pertama yang berjaya menempa nama di Chennai, India sebagai penyanyi hip hop dan pelakon.
Bukan itu sahaja, pemilik nama pentas, Kavithai Gundar Emcee Jesz ini juga melakar sejarah tersendiri apabila turut menjadi artis rakaman di sana.
Anak jati Kuala Lumpur ini telah menghasilkan 18 lagu tema filem, selain membintangi lebih daripada empat filem di Selatan India.
Suresh, ketika ditemui meluahkan perasaan bangga kerana berjaya membawa nama Malaysia ke India.
“Industri hiburan di India terlalu besar. Saya gembira apabila muzik dan lakonan saya diterima baik di sana.
“Bukan semua artis luar dapat peluang seperti ini. Jadi, saya bangga kerana menjadi antara anak Malaysia yang bertuah mendapat peluang seperti itu.
“Apa yang penting, peminat di sana tidak melihat saya sebagai orang India, tetapi sebagai anak Malaysia,” katanya.
Kata Suresh, meskipun kerjayanya rancak berkembang di Chennai, cinta dan kebanggaannya terhadap tanah air tetap menebal.
“Saya tidak lupa asal usul dan sentiasa mempromosikan keunikan masyarakat berbilang kaum di mata dunia menerusi lagu yang saya hasilkan.
“Saya juga bangga kerana di Chennai, ada restoran yang menyajikan makanan Malaysia seperti nasi lemak, mi goreng, teh tarik dan sebagainya.
“Setiap kali ke sana, saya tidak rasa Malaysia terlalu jauh kerana suasana di restoran tersebut membuatkan hati saya sentiasa dekat dengan tanah air sendiri,” ujarnya.
Peristiwa berdarah ajar erti kemerdekaan – Aidil Afizin
Hampir satu dekad insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo sehingga Tanjung Labian, Lahad Datu Sabah berlalu.
Namun, pelakon baharu yang juga peserta program realiti Fit For Action, Aidil Afizin masih trauma dan terkesan dengan peristiwa berdarah yang berlaku, sembilan tahun lalu itu.
Berkongsi pengalamannya, pemilik nama sebenar Mohammad Aidil Afizin Asri menceritakan detik mencemaskan sebelum meninggalkan kampung halaman untuk berpindah ke Tawau.
“Saya merupakan penduduk kampung Long Danau yang terletak bersebelahan Kampung Tanduo. Meskipun kampung kami terselamat daripada ancaman tentera Sulu, kami tetap khuatir.
“Ketika itu, saya amat risaukan ibu bapa yang udah berusia. Hanya Tuhan sahaja tahu betapa cemasnya keadaan pada masa kejadian,” kongsinya.
Aidil yang pada ketika itu masih kanak-kanak mengakui, pengalaman yang dilaluinya itu telah mengajar dirinya tentang makna kemerdekaan yang sebenar.
“Peristiwa berdarah Lahad Datu itu mengajar saya erti kemerdekaan sebenar. Saya berharap, keharmonian dan keamanan kita dapat terus dipertahankan.
“Saya yakin, aset ketenteraan dan teknologi yang kita miliki dapat mematahkan sebarang ancaman luar yang cuba mengganggu keharmonian negara,” tambahnya.











