Golongan muda tidak patriotik?

Golongan muda tidak patriotik?

GOLONGAN muda merupakan peserta terbanyak dalam acara sambutan Hari Kebangsaan dan disempurnakan mereka dengan baik dari mula sehingga akhir. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN tahun apabila tibanya Bulan Kebangsaan yang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, golongan muda ditanggapi malah dipersalah sebagai bukan sahaja tidak menghayati erti kemerdekaan mendalam, tetapi juga tidak memperlihat semangat kebangsaan yang secukupnya. Sejauh manakah kedua-dua ini benar?

Sebenarnya ia tidak benar sama sekali. Sehubungan ini, secara umumnya semua rakyat memiliki rasa bangga, sayang dan setia kepada negara tercinta ini yang dianggap sebagai tanah air.

Dalam hal ini, hanya cara luahannya berbeza antara golongan muda dengan golongan tua. Ini kerana dua golongan ini melalui dua zaman kehidupan yang berlainan.

Bagi golongan tua khususnya yang ikut berjuang untuk kemerdekaan secara langsung, walaupun dalam peranan kecil sebagai hanya ahli biasa kepada pertubuhan nasionalisme tertentu, sudah tentu mereka mempunyai narasi kebelengguan yang membawa kepada naratif kebencian kepada penjajah. Keperitan dijajah itu antaranya diburu secara fizikal, baik pada zaman Jepun mahupun Inggeris memang mempunyai kesan psikologi mendalam sepanjang hayat mereka.

Dengan ini, erti kemerdekaan itu dipenuhi kesedaran tentang peri pentingnya kita sendiri yang menentukan destini, yakni untung nasib kini berada di tangan sendiri. Melalui kesedaran begini, keinsafan yang menyusul itu adalah yang penuh dengan kesyukuran. Sehubungan ini, mereka memperlihat perasaan mencintai negara bukan sahaja pada sifat berlainan, juga pada sasaran berbeza. Ini jelas kelihatan pada cara sambutan yang masyghul dengan mengenang sosok yang menentang penjajah, antaranya dengan bersedekah doa. Sesungguhnya cara begini adalah hasilan kesyukuran pada golongan tua untuk membalas jasa para pejuang kemerdekaan tanah air.

Cara hiba begini sama sekali tidak diperlihat golongan muda yang didapati menyambut kemerdekaan dengan cara sebaliknya, yakni penuh keceriaan dan dengan berpesta pula.

Sehubungan ini, unsur kesyukuran yang merupakan nilai kemerdekaan penting golongan tua rata-ratanya tiada pada golongan muda. Ini kerana mereka tidak pernah melalui walau sekelumit pun keperitan sewaktu kita belum dan mula memerintah sendiri dengan banyak kekurangan yang harus dihadapi, misalnya prasarana yang perlu dibangunkan segera. Oleh itu, narasi mereka berlainan sehingga naratif mereka rata-ratanya ditakwilkan golongan tua sebagai gagal menghargai kemerdekaan pada ekstrem keras dan mengambil mudah pemerolehan kebebasan daripada penjajah pada ekstrem lembut.

Ketiadaan sikap ambil serius dan penghargaan kemerdekaan secara hiba menyebabkan golongan tua menyifatkan golongan muda sebagai tidak menghayati erti kemerdekaan yang mendalam dan tiada semangat kebangsaan yang kental. Dalam pada ini, golongan tua ikut mendakwa golongan muda yang mendapat faedah langsung daripada pengorbanan mereka, tidak sesekali menghargai jasa mereka.

KONFLIK

Sebenarnya ini merupakan persoalan antara generasi, yakni keadaan konflik antara dua generasi, iaitu anak muda dengan orang tua melibatkan sangkaan buruk terhadap satu generasi oleh yang satu lagi. Konflik ini antaranya kerana percanggahan nilai, iaitu piawai yang berubah selain kepentingan tidak sama antara dua generasi ini.

Demi negara tercinta, konflik ini hendaklah diatasi, antaranya dengan mengakui perbezaan antara dua generasi ini, menghargai kedua-duanya sebagai sama-sama penting, mengharmonikan pendekatan masing-masing yang tidak sama dan mengoptimumkan kekuatan setiap generasi itu. Sesungguhnya dua generasi ini saling melengkapi bukan sahaja dalam ehwal sambutan Bulan Kebangsaan, juga dalam banyak hal lain.

Untuk sambutan kemerdekaan, cara hiba golongan tua yang diselaraskan dengan cara ceria golongan muda bukan sahaja menghasilkan sesuatu yang neutral, yakni tiada pertentangan antara satu sama lain, juga yang sama-sama penting, iaitu memperkuat kualiti setiap satu itu. Dengan kata lain, golongan muda ikut bersama-sama untuk melengkapi apa-apa sahaja daripada golongan tua.

Sebenarnya penglibatan golongan muda bukan sahaja banyak tetapi ia berupa bahagian yang penting sehingga berupa konstituen yang sebetulnya merupakan asas sesuatu itu. Ini dapat dilihat pada peranan yang dimainkan golongan muda semasa sambutan khususnya perarakan tahunan. Ia bukan sahaja disempurnakan dengan baik oleh golongan muda yang merupakan peserta terbanyak, kudrat muda mereka yang mapan itu sesungguhnya menjamin acara mantap dari mula sehingga akhir.

Justeru, tidak benar sama sekali bahawa golongan muda bukan sahaja bersikap dingin, apatah lagi tiada semangat patriotik dalam ehwal kenegaraan. Jika dilihat dari segi kekreatifan dan inovasi, mereka adalah jauh lebih ke terhadapan daripada golongan tua yang sebenarnya amat terhad dari segi ini, kecuali terus-terusan mendayukan senandung lara yang sama saban tahun, menerusi persembahan menghiba dalam bentuk puisi selain pengkisahan.

Sebaliknya golongan muda dengan cara ceria dalam pelbagai bentuk media sosial, sebenarnya juga menyambutnya dengan rasa bangga, sayang dan setia seperti yang diperlihat golongan tua. Ia hanya berbeza cara yang walaupun penuh dengan keseronokan, tegas menjaga kesusilaan, selain tetap sarat dengan patriotisme.

Dengan ini, golongan muda tidak boleh sesekali dikatakan tidak memahami erti kemerdekaan dan juga tidak memiliki jati diri kebangsaan. Sesungguhnya mereka seperti golongan tua adalah juga patriot negara. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×