LANGKAWI: Tindakan UMNO yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk diadakan secepat mungkin tidak menjamin parti itu terus berkuasa selepas ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berpendapat, tindakan menggesa untuk diadakan segera PRU15 itu juga ibarat terjun ke dalam lubang yang digali sendiri.
Beliau berkata, ketika ini masih terdapat banyak masalah rakyat yang belum diselesaikan oleh kerajaan dan tiada jaminan PRU15 akan menyelesaikan semua masalah tersebut.
“Masalah-masalah ekonomi, harga barang tak selesai, Covid-19 pun masih belum selesai lagi. Kemudian isu buruh asing, banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU15) sekarang, saya rasalah, dia merasakan bahawa seolah macam gali lubang terjun sendiri.
“Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.
“Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di sini semalam.
Rosol berkata, desakan itu dipercayai dibuat bagi menyelesaikan isu mahkamah yang dihadapi sebahagian pemimpin parti berkenaan.
Bagaimanapun, Rosol percaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.
“Pada saya, pemimpin ini dia tengok macam bird’s eye view seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu. Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” ujarnya. – UTUSAN










