T.he Best, Never Rest. Itulah kunci kejayaan dipegang Executive District Director pertama AIA Malaysia, Wan Zaini Wan Hassan yang mengorak langkah membangunkan agensi takaful, Imtiyaz Consultancy Sdn. Bhd. (Imtiyaz), sejak 11 tahun lalu.
Kejayaan dirangkul Wan Zaini, 50, membuktikan industri takaful tidak boleh dipandang sebelah mata apabila beliau kini mempunyai 19 rangkaian cawangan syarikat takaful seluruh negara selain ibu pejabat di Dataran Wangsa Melawati, di sini.
Agensi pertama berdaftar di bawah AIA Public Takaful Berhad pada 14 Februari 2011 itu, turut berjaya melahirkan 1,000 perunding takaful.
“Kerjaya ini menjadi pilihan saya kerana konsep perniagaannya membantu orang sekeliling agar mempunyai financial tools yang mampu menyerap kesan kewangan jika terjadi perkara yang tidak diingini seperti sakit kritikal, kemalangan dan menyediakan tabung khas untuk persaraan.
“Peluang pekerjaan juga luas. Ini terbukti ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ramai dibuang kerja tetapi industri ini sebaliknya membuka peluang kepada mereka melalui program Elite AIA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas kakitangan sebuah bank terkemuka di ibu kota ini memulakan kerjaya sebagai perunding insuran secara sambilan pada 31 Julai 1995.
Minat menyertai industri ini bermula selepas diterangkan tentang pentingnya ‘hibah’ yang perlu ditinggalkan kepada ibu bapa jika terjadi apa-apa yang tidak diingini kepada dirinya.
Bertitik tolak daripada itu beliau merasakan keperluan berkongsi kebaikan hibah kepada ramai orang.
Lebih membanggakan bapa empat cahaya mata ini apabila usaha kerasnya bersama pasukan, membuah kejayaan apabila syarikat mencatat jualan keseluruhan RM73 juta perniagaan baru pada 2021. Angka itu memadamkan rekod tahun 2020 dengan catatan RM36 juta.
Malah Wan Zaini berjaya melahirkan 34 Million Dollar Round Table (MDRT) 2022 iaitu pencapaian tertinggi bagi mereka yang terlibat dalam industri perunding kewangan.
KELUARGA & CABARAN
Sepanjang 25 tahun berada dalam industri, memastikan tahap profesionalisme perunding takaful sentiasa berada di tahap terbaik selari dengan tuntutan pelanggan dan regulator, antara cabaran dihadapi.
Justeru katanya, perancangan dalam mencapai setiap sasaran perniagaan perlu ada.
“Jangan mengaku kalah dan pastikan kita sentiasa fokus dengan apa yang sudah disasarkan,” katanya yang menyertai industri insuran konvensional ketika usia 25 tahun dan beralih ke takaful pada usia 40 tahun.
Nama anak kelahiran Kuala Kubu Bharu ini dan Imtiyaz Consultancy Sdn. Bhd. ini turut terpampang megah di papan digital Liga Premier Inggeris (EPL) ketika perlawanan Tottenham menentang Crytal Palace di Stadium Tottenham Hotspur, pada 26 Disember 2021.
“Selain disiplin dan amanah kepada pelanggan, memperbaiki mutu perkhidmatan perlu ada buat individu kerana industri takaful ini sentiasa berubah mengikut peredaran masa,” katanya yang menegaskan ia juga adalah salah satu instrumen kewangan sangat penting kerana merangkumi persediaan jika berlaku musibah yang tidak dijangka seperti kemalangan, simpanan dan kos pembelajaran anak serta hingga perlindungan hari tua.








