Dedikasi Tengku Munazirah untuk bonda - Utusan Malaysia

Dedikasi Tengku Munazirah untuk bonda

Tengku Munazirah bersama anak- anak pelarian di rumah Human Aid (Pertubuhan Amal dan Kemanusiaan Selangor).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wajahnya segar tanpa secalit solekan. Melihat senyuman yang dilemparkan, saya tahu orangnya peramah dan senang didekati.

Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al- Haj, 34 yang sentiasa tampil kasual dalam media sosial, cantik dan berbudi pekerti mulia.

Puteri berjiwa rakyat ini terbabit dalam kerja kemasyarakatan sejak usianya belasan tahun lagi.

Bertemunya baru-baru ini, beliau mengakui suka bekerja dan membantu orang lain hingga kadangkala terlupa meluangkan masa untuk diri sendiri.

“Bila membantu orang lain, kita sedar bahawa hidup ini perlu sentiasa bersyukur. Kita akan berasa lebih gembira dan tenang kerana dapat melihat mereka yang dibantu tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Walaupun kadang-kadang sumbangan itu kecil, namun penerimaan mereka sangat besar,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Puteri berdarah diraja dari negeri Selangor, bapanya, Tengku Panglima Besar Selangor Brig Jen (Kehormat) Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan ibunya Al-Marhumah Tunku Abdiyah Al-Marhum Tunku Dato Seri Adnan adalah kerabat Negeri Sembilan.

Kehilangan Bonda
Pembabitan dirinya dalam kerja sukarela membabitkan kesihatan paru-paru.

Segala-galanya bermula selepas bondanya Al-Marhumah Tunku Abdiyah meninggal dunia pada 2012 akibat kanser paru-paru.

“Situasi ini benar-benar memberi kesan kepada saya. Sewaktu hayat bonda, beliau sangat tabah dan tidak pernah berputus asa walaupun sakit. Bonda seorang yang positif dan tenang dalam apa jua situasi. Hingga akhir hayat, bonda sentiasa berpesan agar kami melakukan kebaikan, membantu orang lain dan memberi inspirasi positif kepada masyarakat,” katanya.

Sewaktu hayat bonda, beliau sangat tabah dan tidak pernah berputus asa walaupun sakit. Bonda seorang yang positif dan tenang dalam apa jua situasi. Hingga akhir hayat, bonda sentiasa berpesan agar kami melakukan kebaikan, membantu orang lain dan memberi inspirasi positif kepada masyarakat,” katanya.

Mengimbau kembali kenangan itu, Tengku Munazirah memberitahu bonda hanya mengetahui menghidap kanser sudah lewat iaitu ketika di tahap empat.

“Bonda reda dengan ketentuan Ilahi dan sempat menasihati kami dua beradik untuk melalui kehidupan seperti biasa. Waktu itu saya baru saja dapat kerja di Hotel Ritz Carlton, Singapura. Ibu bertegas agar saya terus bekerja.

“Saban minggu saya berulang-alik dari Singapura dan Kuala Lumpur. Akhirnya saya hanya sekadar bertahan untuk lima bulan sahaja bekerja, kerana saya mahu menjaga ibu sepenuhnya. Alhamdulillah saya berada di sisi ibu sehingga nafasnya yang terakhir,” ujarnya sebak.

Bertitik tolak daripada situlah Lulusan sarjana muda dalam jurusan Hospitality Management dari Swiss Hotel Management School ini menubuhkan The Hope Factory. Badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah pusat untuk syarikat korporat melakukan projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan memberi dana kepada syarikat ini untuk diagihkan kepada sumber yang memerlukan.

“Saya mendedikasikan The Hope Factory kepada Almarhumah bondanya. Beliau tidak pernah menyerah kalah untuk terus berjuang dengan penyakit kanser kala hayatnya. Kalau diimbas kembali, almarhum ibu, orangnya sangat kental,” katanya.

Selain bersama The Hope Factory Sdn. Bhd.Tengku Munazirah turut menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah untuk Alliance Française de Kuala Lumpur (EXCO Member), Penasihat untuk Persatuan Wanita Bumiputera Kuala Lumpur & Selangor (PERNITA) dan Satirical Satin Project, Kuala Lumpur dan Penasihat untuk IMC Training Centre for Special Needs, Selangor.

Minat Kereta
Bukan kecil anak. Puteri berjiwa lasak ini memiliki hobi yang mencabar adrenalin iaitu kereta berkuasa tinggi.

“Saya minat kereta berkuasa tinggi. Minat ini mungkin lahir daripada almarhum datuk yang merupakan bekas Presiden Royale Malaysia Vintage Classic Car Club,” katanya.

Kebiasaannya di rumah topik berbual di meja makan antara ayah dan adik-beradiknya adalah perihal kereta.

Maka tidaklah menjadi kehairanan bila dirinya sudah handal memandu sejak usinya mencecah belasan tahun.

“Pada usia 19 saya sudah pernah memandu di Switzerland dan Perancis,” katanya menyerlahkan keterujaanya pada pemanduan.

Ayah mengajar dirinya memandu kereta sejak usia 14 tahun lagi.

“Pertama kali memandu kereta saya terus jatuh cinta. Saya dan rakan-rakan setiap Ahad akan ke Bentong, Pahang semata-mata untuk makan ayam bakar dan lemang.

“Lepas subuh kami semua berjumpa di Lebuhraya Karak. Masing-masing memandu kereta sendiri. Kereta pertama saya adalah Toyota Supra dan sebelum datuk saya meninggal dunia, dia menghadiahkan kereta-kereta vintaj dan klasik miliknya kepada semua cucu, dan saya dapat MG sport,” ujarnya.

Selera Fesyen
Berkongsi cerita tentang fesyen, beliau menyifatkan dirinya seorang wanita yang sederhana dan tidak suka kepada helaian keterlaluan. Untung bagi Tengku Munazirah kerana setiap beg tangannya dibelikan oleh ayahandanya tanpa diminta.

“Ayahanda sangat obses pada fesyen. Beliau sukakan koleksi edisi terhad, jadi semua koleksi beg tangan saya adalah limited edition.

“Ayah sangat teliti dengan pemilihan beg tangan. Malah ayahanda jugalah yang menjadi personal stylist saya setiap kali saya kena masuk istana. Dia akan pilihkan baju, warna apa yang sesuai dan sebagainya,” ceritanya tersenyum.

Erti Merdeka
Bercerita tentang sambutan bulan kemerdekaan, Tengku Munazirah mahu masyarakat memahami erti perjuangan kemerdekaan yang diperolehi, adalah hasil pengorbanan pejuang terdahulu.

“Selain bebas kerana merdeka, masyarakat harus berusaha memperbaiki diri khususnya mereka yang hidup susah. Pendidikan merupakan perkara utama yang akan membantu masyarakat berubah.

“Sebab itu, saya membantu anak-anak pelarian bermula dengan penekanan pendidikan mereka. Bagi masyarakat kita, jadilah orang merdeka dengan bekalan ilmu yang tinggi dan menjadi diri sendiri,” katanya.

Bonda pesan selalu merendah diri
Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, Tengku Munazirah sentiasa merendah diri dan pasti peranan ini diberikan bersebab.

“Ibu bapa saya memastikan saya dan abang memiliki kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Kami diajar bukan semua indah dalam kehidupan dan paling penting untuk bekerja bagi mendapatkan apa yang dimahukan.

“Semakin meningkat usia, saya sedar akan konsep menjadi kerabat diraja dan saya faham bahawa terdapat tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan dan menggunakan status ini untuk kebaikan dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya.

Sebagai kerabat diraja, Tengku Munazirah dan keluarganya berkeras untuk memastikan adat-adat tradisi yang dipraktikkan di negeri Selangor sejak tahun 1700 kekal diterapkan dalam jati diri setiap satu ahli keluarga.

“Kami sememangnya mengambil endah akan perihal adat istiadat dan tradisi. Tamsilnya, kami masih gunakan Bahasa Istana di kalangan ahli-ahli kerabat, bak kata pepatah ‘biar mati anak jangan mati adat’,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×