PETALING JAYA: Hukuman penjara terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melemahkan UMNO, sebaliknya akan menjadikan parti itu lebih kuat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, parti itu mampu meraih simpati dan sokongan rakyat untuk mencipta kejayaan dalam PRU15.
Katanya, walaupun Najib tiada jawatan dalam UMNO, tetapi beliau mempunyai pengaruh besar, malah menjadi antara sebab utama rakyat menyokong parti berkenaan.
“Naratif yang dimainkan UMNO ketika ini seolah-olah Najib dianiaya dan tidak diberikan peluang sepenuhnya untuk membela diri sebagai contoh pengenalan bukti baharu dan khidmat peguam bela yang ditolak mahkamah.
“Dalam masyarakat kita orang yang dianiaya perlu dibantu, jadi dalam kes ini, saya melihat UMNO akan mendapat keuntungan dan bukan perpecahan yang melemahkan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Selasa lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan salah terhadap bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dan diperintahkan menjalani hukuman penjaranya hari yang sama.
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, musibah yang menimpa Najib tidak akan melemahkan mahu pun memecahbelahkan UMNO dan BN.
Sebaliknya, katanya, situasi itu akan mengukuhkan lagi perpaduan ahli-ahlinya selain mengundang sentimen simpati dalam kalangan ahli parti dan penyokong.
“UMNO tidak akan berpecah lagi pun mahkamah sudah membuat keputusan yang wajar mengikut lunas undang-undang dan bukan kerana tekanan politik,” katanya. – UTUSAN










