PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menjelang tidak lama lagi. Ia adalah gelanggang yang amat dinanti-nantikan oleh semua parti politik di negara ini untuk mereka memasang kekuda, membuka langkah seterusnya berpencak sehinggalah lawan masing-masing tumbang.
Realitinya, semua parti yang berhasrat berlawan dan bertembung dalam mana-mana pilihan raya adalah senario biasa kerana mereka mahu memenuhi keperluan serta kehendak yang telah digariskan. Ia normal bagi setiap parti. Yang menjadi tumpuan ketika ini ialah Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini dibentuk dengan linangan air mata, menyatukan dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas membabitkan keahlian seramai 4.2 juta.
Namun, suka diingatkan bahawa dalam MN dahulu semasa diasaskan, ia bukan sekadar terkait dengan pilihan raya, malah lebih daripada itu. MN adalah jambatan perpaduan dan permuafakatan melangkaui pilihan raya. Jika pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, MN memilih jalan akhir iaitu politik damai dan matang.
Justeru, lontaran idea Ahli Jawatankuasa Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkaitan kepentingan rundingan 27 kerusi Parlimen untuk kebaikan umat Islam menjadikan Pakatan Harapan (PH) tersentak. Jika rundingan ini berjaya, ia adalah isyarat malang buat mereka. Bagaimanapun, dalam UMNO dan Pas sendiri terdapat pengkritik yang kurang bersetuju dengan MN. Apa pun tugasan kita ialah melontarkan idea muafakat tanpa henti sebagai nasihat kepada umat. Terpulanglah pada pihak berkenaan untuk membuat keputusan.
Pertembungan umpama adik-beradik adalah semata-mata untuk mencari wakil rakyat yang terbaik. Ia adalah persaingan yang sihat dan mesra bagi menawarkan khidmat kepada umat. Kita sepatutnya sudah meninggalkan kaedah politik serang-menyerang kerana itu adalah cara lapuk yang merosakkan masyarakat. Mengelakkan kata-mengata bagi membina persepsi kerana ia bukan politik matang dan sejahtera. Adalah lebih baik jika ahli-ahli politik khususnya yang Islam berpolitik dengan membentangkan fakta secara ilmiah, jujur dan berdedikasi.
Usah diamalkan kesombongan dan keangkuhan ketika berbicara apatah lagi membuat sindiran-sindiran keras serta pedas menghiris sanubari orang lain. Jangan memberikan gelaran-gelaran buruk kerana manusia dicipta indah dan cantik. Jambatan perpaduan jangan dibakar kerana suatu hari nanti, mungkin selepas PRU ia amat diperlukan. Malah jambatan persaudaraan tidak wajar dan tidak pernah putus walaupun berbeza pendapat serta pandangan.
Ayuh kita bersama selangkah, seiring berpimpin tangan membina politik baharu iaitu politik generasi ke hadapan untuk anak cucu mendatang.
MELAKNAT
Pengamal politik jangan lupa satu perkara paling penting, iaitu berakhlak mulia kerana ia adalah hiasan umat Islam. Ahli politik Islam adalah yang paling sepatutnya menghiasi diri dengan akhlak ketika berpolitik untuk menjadi contoh kepada seluruh ahli dalam bidangnya itu. Politik mengecam, menuduh, mencerca, menyindir, menggelar, menghina, bersangka buruk, menghasut, mengintip dan menyebarkan persepsi bukan sahaja merosakkan diri ahli politik tetapi menjahanamkan rakyat dan negara.
Rakyat bergaduh, berpecah-belah, berperang, saling membenci, hasut- menghasut, mengumpat dan melaknat, semuanya adalah akibat pimpinan politik yang tidak menghiasi diri dengan akhlak Islam. Ingatlah bahawa Islam itu indah, ia untuk diamalkan bukan hanya untuk dibicarakan.
Antara akhlak mulia seorang Muslim dan mukmin ialah menjauhi sangkaan dan tidak bersangka buruk. Bagaimana seseorang mengaku mukmin sedangkan hatinya sentiasa membuat sangkaan terhadap mukmin yang lain khususnya yang berlainan pemikiran atau pandangan? Dalam hadis Sahih Bukhari dan Muslim pula menyebut, sangkaan adalah bicara yang paling bohong. Hal ini kerana sangkaan adalah andaian dalam keadaan tidak pasti dan berkebarangkalian besar tidak menepati realiti lalu terbentuklah pembohongan terhadap seseorang atau sesuatu.
Daripada sangkaan lahirlah pula satu lagi akhlak buruk iaitu mengintip kesalahan dan keaiban. Seterusnya berjangkit pula kepada satu lagi akhlak buruk iaitu mengumpat. Maka buruk sangka adalah permulaan kepada mengintip atau mencari-cari kesalahan orang lain lalu akhirnya mengumpat yang disifatkan oleh Allah sebagai memakan daging mayat saudara sendiri.
Ahli politik yang berbeza wadah wajar menghiasi diri dengan akhlak yang berbaik sangka agar umat sentiasa teguh tidak berpecah. Usah mengaku memperjuangkan kebaikan jika sikap bersangka buruk masih menjadi amalan yang seolah-olah tidak dapat dipisahkan dari kehidupan seharian. Berburuk sangka itu mudah kerana ia memudahkan laluan ke neraka. – UTUSAN
DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.










