UMNO takkan 'mati' tanpa Najib - Utusan Malaysia

UMNO takkan ‘mati’ tanpa Najib

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akar umbi UMNO terus merapatkan saf untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun partinya ‘hilang’ seorang pemimpin berpengaruh yang mampu membantu kemenangan kepada parti itu seperti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, mengakui ujian berat yang dilalui UMNO kini, namun, parti itu perlu terus konsisten mendepani ‘ujian’ lebih besar meskipun mahkamah dilihat tidak memberi ruang sewajarnya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri.

“Kita sudah pasti menghormati keputusan yang dikeluarkan, tetapi sejak awal kita nyatakan, keadilan perlu diangkat dan keputusan dibuat pihak mahkamah, ia dilihat tidak memberi ruang dengan menyatakan kes lebih panjang, sepatutnya pihak mahkamah kena ambil kira semua sudut sebelum keputusan untuk kes berprofil tinggi dibuat.

“Dalam keadaan hari ini, UMNO perlu konsisten dengan kekuatan jentera di peringkat akar umbi supaya boleh bergerak dengan lebih kuat supaya mampu memperoleh kemenangan PRU15, kerana apa berlaku hari ini adalah ‘political persecution‘.

“Jadi, kita perlu tunjuk pada rakyat yang pemimpin UMNO perlu lipat ganda usaha pada PRU15 ini,” katanya ketika dihubungi.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap Najib.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad berkata, sudah pasti beliau dan seluruh akar umbi kecewa dengan keputusan tersebut, namun, cabaran kali ini bukan kali pertama kerana UMNO sudah diuji keperitannya sejak 1946 lagi.

“Saya amat sedih dan simpati dan rasa dukacita, berat bila mendengar keputusan dikekalkan hukuman itu, tetapi apakan daya, ini proses undang-undang yang Najib dah lalui sampai sekarang. Datuk Seri Najib dan keluarga perlu bersabar dalam menghadapi ujian ini.

“Perlu diingat, parti UMNO menghadapi cabaran sejak 1946 lagi, banyak ujian kepada parti, walaupun ribut taufan, UMNO pasti akan kembali berada di landasannya. Sebab dari krisis pada zaman Tengku Razaleigh, Tun Mahathir, ia sangat dahsyat.

“Tetapi parti ini terus bergerak dan tidak boleh mati, kalau ada yang tidak suka, mereka boleh keluar baris,” katanya.

Ketua Bahagian UMNO Selayang, Datuk Abdul Shukur Idrus pula berkata, keputusan hari ini tidak akan menjadikan akar umbi patah semangat, sebaliknya akan terus mencari jalan untuk memenangkan parti supaya tiada pemimpin lain yang teraniaya seperti bekas perdana menteri itu.

“Kita amat bersimpati dan berharap Najib dan keluarga bersabar menerima dugaan ini, kita faham beliau mempunyai jasa banyak kepada negara, dan beliau punyai sokongan akar UMNO begitu ramai walaupun tidak lagi menjadi perdana menteri.

“Dari segi persiapan parti, ia tidak jejaskan PRU, akan diteruskan macam biasa. Keputusan ini menambahkan lagi semangat ahli parti berjuang memenangkan parti. Kita mesti teruskan agenda kita untuk PRU dan dengan keputusan itu juga memberikan semangat dan kekuatan kita untuk terus menang dalam PRU supaya pemimpin kita tak teraniaya seperti hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×