Untung bersih Supermax menjunam 96.6% kepada RM32.2 juta

Untung bersih Supermax menjunam 96.6 peratus kepada RM32.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan Supermax Corporation Berhad (Supermax) pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4Q2022) menjunam 84 peratus kepada RM300.2 juta daripada RM1.57 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan yang rendah itu turut menjejaskan keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan yang menjunam hampir 100 peratus iaitu 96.6 peratus kepada RM32.2 juta.

Menurut Supermax, di sebalik pelbagai cabaran, Kumpulan bagaimanapun masih mampu mencapatkan pencapaian yang baik bagi tempoh 12 bulan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (TK2022) dengan keuntungan sebanyak RM2.7 bilion dengan PAT sebanyak RM771.1 juta.

“Supermax FYE2022 merekodkan margin keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), keuntungan sebelum cukai (PBT) dan PAT masing-masing sebanyak 42.8, 39.8 dan 27.5 peratus.

“Prestasi ini mungkin lebih rendah daripada TK2021, tetapi secara keseluruhannya lebih tinggi berbanding TK2020 dan tahun-tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Supermax, keputusan suku dilaporkan Kumpulan jatuh sejajar dengan penurunan Harga Purata Jualan (ASP) dan permintaan yang telah melonjak ke paras tertinggi semasa era pandemik dua tahun lalu.

Jelasnya, jualan juga terjejas teruk disebabkan Perintah Sekatan Pelepasan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada Oktober 2021 dan perintah penggantungan oleh kerajaan Kanada.

“Pengedaran luar negara Kumpulan Supermax bersama pengimport dan pengedar industri lain juga terjejas dan terpaksa menjual inventori berharga tinggi pada kejatuhan harga pasaran sejak akhir CY2021.

“Kumpulan juga terpaksa berhadapan dengan peningkatan kos operasi disebabkan oleh faktor yang tidak menguntungkan dan kenaikan gaji minimum,” jelasnya.

Supermax berpandangan bahawa, bekalan global terus melebihi permintaan dan harga jualan sarung tangan adalah lemah.

Jelasnya, industri sarung tangan getah kini berada dalam fasa penyatuan, selepas melalui fasa pertumbuhan paling kukuh dalam sejarah pada 2020 dan 2021, dicetuskan oleh pandemik Covid-19 yang telah merebak ke seluruh dunia.

“Lonjakan pertumbuhan kukuh sektor itu telah menarik ramai pemain baharu ke dalam pasaran dan menggalakkan pemain sedia ada untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memanfaatkan permintaan yang melonjak.

“Lebihan bekalan yang terhasil ditambah pula dengan permintaan yang kembali normal apabila dunia mula menerima pandemik beralih kepada endemik, telah menyaksikan ASP untuk sarung tangan lebih rendah daripada rekod tertinggi mereka.

“Melangkah ke hadapan, Supermax menjangkakan pasaran kekal lemah, persaingan berterusan sengit dan margin keuntungan terus menjadi sederhana,” katanya.

Kumpulan turut menjangka melihat penggabungan berterusan dalam industri sarung tangan getah disebabkan ASP dan permintaan terus sederhana daripada rekod tertinggi semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Setakat 18 Ogos 2022, Kumpulan mempunyai komitmen modal berjumlah RM212.6 juta untuk pembelian loji dan peralatan bagi kilang-kilangnya di Malaysia.

Supermax turut memaklumkan yang ia telah mencadangkan untuk mewujudkan pelan insentif jangka panjang (LTIP), terdiri daripada cadangan skim opsyen saham pekerja (ESOS) dan pelan geran saham (SGP).

Ia membabitkan sehingga 15 peratus daripada modal saham terbitan Syarikat (tidak termasuk saham perbendaharaan Supermax, jika ada) pada bila-bila masa sepanjang tempoh pelan insentif jangka panjang, untuk pekerja yang layak dan pengarah syarikat dan bukan anak syarikat tidak aktif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×