Lebih 10,000 mohon amah dilulus, ada ditawar gaji RM2,500

Lebih 10,000 mohon amah dilulus, ada ditawar gaji RM2,500

LEBIH 10,000 permohonan amah dari Indonesia telah diluluskan dan dijangka memasuki negara bulan depan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelulusan per­mohonan pekerja Indonesia yang ingin bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia mencecah lebih 10,000 orang sejak negara itu membuka semula permohonan pada 1 Ogos lalu.

Jumlah yang dimaklumkan Kedutaan Indonesia di Malaysia kepada Mingguan Malaysia itu adalah satu pertiga daripada 30,000 amah yang diperlukan majikan ketika ini.

Namun, disebabkan pengambilan pekerja dibekukan sementara pada 13 Julai lalu, kemasukan pembantu rumah Indonesia secara besar-besaran hanya bermula pada September ini.

Ketika ini, permintaan yang tinggi terhadap sumber tenaga kerja pembantu rumah mendorong majikan di negara ini menawarkan gaji yang lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan pada 1 Mei lalu.

Tinjauan terhadap para majikan yang mengiklankan jawatan pembantu rumah di pelbagai platform baru-baru ini mendapati, selain RM1,500 sebulan, ramai yang sanggup menawarkan gaji lebih tinggi bermula RM1,700 sehingga RM2,500.

Kebanyakan iklan tersebut menyatakan majikan mahu pembantu rumah beragama Islam seperti dari Indonesia namun ada juga menawarkan pekerjaan untuk warga Filipina, India dan Sri Lanka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, majikan sanggup membayar gaji mahal kerana terdapat persaingan dan permintaan tinggi untuk mendapatkan khidmat amah.

Katanya, permintaan tidak berkurangan meskipun rata-rata majikan turut terkesan dengan inflasi dan kenaikan kos harga barang.

“Permintaan amah sentiasa ada, walaupun ekonomi merudum, kos naik, dan inflasi, majikan tetap ambil pembantu rumah.

“Ada yang perlukan sangat untuk jaga orang sakit, warga emas dan kanak-kanak. Jadi mereka tiada pilihan. Kalau tidak, mereka perlu memasak, mengemas, semua perlu diuruskan sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, beliau menggesa supaya kemasukan pembantu rumah dipercepat dengan membawa masuk pekerja dari negara-negara lain selain Indonesia.

“Sebelum ini, kerajaan pernah berjanji membawa masuk pembantu rumah dari Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal tetapi ia tidak berlaku. Sekarang, kerajaan bawa masuk amah dari Filipina dan Indonesia tetapi dengan peraturan lebih ketat kerana nak jaga kepentingan rakyat mereka.

“Kita cuma berharap kos yang dikenakan untuk bawa masuk pekerja asing tidak melampau, mekanisme perlu dikawal supaya tidak terlalu mahal,” katanya.

Menurut Jabatan Imigresen, majikan dibenarkan mengambil pembantu rumah dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos dan Nepal dengan pendapatan minimum RM3,000 sebulan manakala pembantu rumah dari Filipina, Sri Lanka dan India mestilah berpendapatan minimum RM5,000 sebulan.

Majikan mestilah bekerja dan hanya satu pembantu rumah yang layak dimohon untuk satu keluarga, mempunyai anak berusia bawah 15 tahun, ibu bapa yang sakit atau uzur dan majikan beragama Islam hanya dibenarkan menggaji pembantu rumah beragama Islam sahaja.

Jika majikan mahu mengambil pembantu rumah kedua, pendapatan minimum mestilah melebihi RM10,000 sebulan, pembantu ketiga (RM15,000 sebulan) manakala keempat dan selebihnya memerlukan kelulusan khas Ketua Pengarah Imigresen.

Setakat ini, Indonesia dalam proses membawa masuk pekerjanya termasuk pembantu rumah secara berperingkat selepas menarik balik sekatan terhadap Malaysia pada 1 Ogos lalu.

Kerajaan juga sedang memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) untuk membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×