KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia optimis peratusan pegangan saham asing yang berada pada 20.2 peratus ketika ini, akan pulih kepada keadaan sebelum pandemik Covid-19, didorong oleh pemulihan ekonomi dan prestasi syarikat yang lebih baik.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, trend pada tujuh bulan pertama tahun ini telah menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, pegangan saham asing dalam pasaran Bursa Malaysia kini menurun berbanding 20.3 peratus pada 2019.
“Apa yang boleh kami lakukan adalah untuk menyediakan pasaran yang menarik dengan mempunyai syarikat-syarikat yang berkualiti dalam pasaran tersebut.
“Pasaran yang menarik adalah dengan mempunyai syarikat-syarikat yang mempunyai perniagaan yang kukuh, mampan serta berpotensi untuk pertumbuhan.
“Saya rasa kebaikan daripada pandemik adalah kita menyaksikan pertumbuhan yang kukuh dalam ekonomi. Jadi, apabila prestasi syarikat semakin baik dan ekonomi juga pulih, saya yakin peratusan tersebut akan pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran Buku Panduan 3: Mengukuhkan Pengurusan Pemegang Saham dan Perhubungan Ppelabur di bawah Program Transformasi Syarikat Senaraian Awam (PLC) di Bursa Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, buku panduan tersebut diharapkan dapat membantu membantu PLC untuk meningkatkan lagi amalan perniagaan mereka bagi menarik minta pelabur antrabangsa.
“Pengurusan pemegang saham dan perhubungan pelabur yang kukuh penting dalam membina dan mengekalkan hubungan, kepercayaan dan keyakinan antara syarikat dan pihak berkepentingan serta pemegang saham.
“Oleh itu, keperluan untuk PLC berhubung dengan pelabur mereka sama ada yang tempatan atau di luar negara adalah sangat penting terutamanya dalam keadaan pasaran yang tidak menentu dan prestasi yang hambar,” ujarnya. – UTUSAN










