PETALING JAYA: Untung bersih Pharmaniaga Berhad menjunam sehingga 94.7 peratus kepada RM 722,000 pada suku kedua (s2) berakhir 30 jun 2022 berbanding RM13.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kejatuhan itu terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah daripada segmen bukan konsesi disebabkan kontrak daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi produk di bawah perniagaan tender.
Pendapatan bagi tempoh itu juga merosot 35.3 peratus kepada RM761.1 juta daripada RM1.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu memandangkan negara beralih ke fasa endemik, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Ia turut merekodkan pendapatan yang lebih rendah dalam segmen lain termasuk cabang perniagaan di Indonesia, hasil daripada musim perayaan pada suku tersebut.
Perolehan sesaham jatuh kepada 0.06 sen daripada 1.05 sen. Pharmaniaga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak setengah sen sesaham yang akan dibayar pada 4 Oktober 2022.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya susut kepada RM28.46 juta daripada RM36.84 juta manakala pendapatan juga susut RM1.7 bilion daripada RM2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam perniagaan konsesi apabila produk tambahan dimasukkan ke dalam senarai konsesi.
Di samping itu, terdapat peningkatan sumbangan daripada sektor swasta sebanyak 30 peratus hasil daripada peningkatan usaha pengiklanan dan promosi.
Segmen Indonesia pula terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan memanfaatkan peningkatan kecekapan operasi melalui pendigitalan dan usaha jualan yang agresif.
Mengenai prospek, Pharmaniaga akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan portfolio perniagaannya di pasaran swasta, terutama untuk produk di kaunter dan etika kepada farmasi, hospital dan klinik di seluruh negara.
Menurut kumpulan itu, ia juga menumpukan kepada lanjutan perjanjian logistik pengedarannya dengan KKM yang disasarkan untuk dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.
“Kekurangan ubat baru-baru ini telah menyebabkan kerajaan meluluskan untuk melepaskan stok ubatnya kepada sektor swasta dengan Pharmaniaga ditugaskan untuk menguruskan pengeluaran ubat-ubatan itu.
“Itu melonjakkan permintaan produk farmaseutikal generiknya kepada empat kali ganda. Kumpulan menjangkakan kekurangan ubat akan kembali normal menjelang suku keempat ini.
“Secara keseluruhan, kumpulan kekal berhati-hati dengan prospek akan datang dengan mengambil kira pelbagai ketidaktentuan pasaran yang memberi kesan kepada ekonomi global seperti kenaikan harga bahan mentah dan kadar faedah,” katanya. – UTUSAN










