LCS keperluan yang amat mendesak

[ANALISIS] LCS keperluan yang amat mendesak

lcs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENCEROBOHAN Russia terhadap Ukraine kini memasuki hari ke-178 dan peperangan masih berlangsung. Malah negara kuasa besar itu turut mendapat ikrar daripada sekutunya, China dan Korea Utara yang mahu menyokong operasi ketenteraan tersebut.

Sehingga kini, Ukraine belum mahu mengalah. Selain disokong negara blok Barat, ia juga mempunyai aset ketenteraan yang ampuh. Keupayaan senjata berpandu dan juga yang mudah alih negara itu sememangnya dikagumi.

Itu cerita di Eropah Timur apabila dua negara berkonflik menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan kedaulatan masing-masing.

Ketika kebanyakan negara memperkukuhkan lagi sistem pertahanan mereka, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam cita-cita itu dengan merancang pelbagai program transformasi, penggantian aset moden malah berhasrat menjadi hab pengeluaran aset pertahanan serantau.

Namun malangnya ia turut diiringi kontroversi seperti dalam pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan berlaku kepincangan dalam projek itu sehingga enam buah kapal yang sedang dibina tertangguh pembinaannya.

LCS melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion dengan kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijadual siap dalam masa 10 tahun. Namun sehingga kini, satu kapal pun belum dapat disiapkan.

Sebab itulah TLDM sendiri menyambut baik agar pihak yang terbabit dengan penyelewengan dalam projek LCS dibawa ke muka pengadilan. Yang penting bagi mereka, pembinaan enam buah kapal tempur itu perlu disiapkan.

Pertelingkahan orang politik antara pemimpin kerajaan dan pembangkang dalam isu LCCS tidak wajar melibatkan sama angkatan laut tersebut dan menjejaskan hala tuju pertahanan negara.

Projek LCS merupakan perolehan kritikal bagi mengisi kekurangan kapal tempur yang dihadapi TLDM. Pada masa ini, pasukan itu hanya memiliki empat buah kapal tempur dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menjaga kedaulatan negara.

Empat kapal itu adalah KD Lekir, KD Lekiu, KD Kasturi dan KD Jebat yang sudah lebih dua dekad pengoperasiannya.

Sejajar dengan perkembangan landskap keselamatan geostrategik dan geopolitik serantau, keupayaan TLDM perlu dipertingkat.

LCS adalah jawapan kepada kekurangan itu. Ia dibina sebagai kapal tempur Pesisir selain keupayaan cegah rintang serta berupaya melaksanakan peperangan empat dimensi iaitu Peperangan Anti Permukaan, Peperangan Anti Udara, Peperangan Anti Kapal Selam dan Peperangan Elektronik.

Sebab itulah keputusan yang dibuat kerajaan untuk meneruskan projek perolehan LCS, merupakan keputusan tepat dan didorong oleh keprihatinan untuk mengutamakan kepentingan kedaulatan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×