'Saya bercakap pada yang sudi dengar’ - Utusan Malaysia

‘Saya bercakap pada yang sudi dengar’

Muhaya dan suami, Azmi bersama anak dan cucu mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan sekali kata-kata motivasi pakar mata, Datuk Prof. Dr. Muhaya Muhamad menjadi kontroversi, khususnya dalam kalangan yang tidak berpuas hati dengan lontaran nasihat diberikan. Namun figura yang tidak lokek dengan senyuman ini berpegang kepada prinsip bercakap pada yang sudi mendengar, bukan apa yang orang mahu dengari.

“Manusia apabila terkena pada dia sendiri, dia tak suka. Prinsip saya, saya berdoa kepada Allah supaya diberi kekuatan untuk menguatkan orang lain. Saya yakin setiap teguran akan membawa perubahan, insya-Allah daripada segi kualiti hidup. Pujian bagus untuk semangat tetapi apabila sentuh isu kontroversi, manusia tidak suka teguran.

“Bila ada yang tersentap atau terasa, kerap kali saya cuba merenung kembali kata-kata yang tidak disenangi dan mencari di mana silapnya hingga membuatkan sesetengah orang tidak ingin mendengarnya. Mungkin cara saya melontarkan kata-kata atau intonasinya keras. Kata-kata inspirasi ini seperti kita tercucuk ubat, terkejut tapi baik untuk kita,” katanya kepada Seri.

Beliau bagaimanapun tidak suka membiarkan sebarang kontroversi berpanjangan sebaliknya segera meminta maaf kerana tidak mahu mati dalam keadaan ‘berhutang’ dengan sesiapa.
Muhaya lebih suka menyantuni dengan sebaiknya bila berdepan individu yang meluahkan rasa kurang senang terhadapnya .

“Saya nak orang maafkan saya. Sebolehnya saya cuba bersikap empati dengan mendengar saja kata-kata mereka terlebih dahulu, pada masa sama menyuntik ilmu bagi menenangkan mereka,” katanya lembut.

DIUJI SEJAK KECIL
Ramai beranggapan, Muhaya memiliki kehidupan sempurna namun hakikatnya beliau juga manusia biasa yang diuji dengan pelbagai onak dan duri kehidupan.

“Hakikatnya saya juga mengharungi cabaran hidup. Ketika sedang sibuk dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (waktu itu MCE) ayah berpoligami. Mak ayah bercerai tiga bulan sebelum peperiksaan pada tahun 1976. Saya kehilangan cucu lelaki pada 2019.

“Lebih baik usahm membandingkan diri kita dengan orang lain. Bersyukur dan belajar menyayangi semua orang tanpa syarat. Buat sesuatu kerana manusia dan jangan berhenti sekiranya tidak dapat penghargaan atau ketika diuji,” katanya.

Muhaya berkata, arwah bapanya, banyak memberikan motivasi dalam mencapai kejayaan khususnya dalam bidang kesihatan mata.

“Ayah mahu saya jadi pakar mata sebab pada masa itu, orang Terengganu belum ada yang jadi pakar mata. Dia mahu saya jadi doktor mukmin yang juga akan membantu pesakit termasuk sanak saudara kelak.

“Suami juga sangat memberikan sokongan ketika saya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di London. Saya masih ingat bagaimana dia membantu saya menaip tesis sehingga tengah malam dan tolong hantar keesokan paginya,” katanya.

Beliau yang berkahwin awal iaitu ketika masih bergelar pelajar tahun kedua peringkat Ijazah Pertama Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersyukur kerana suaminya, Datuk Dr. Azmi Jamion sanggup berkorban mengambil jurusan yang tidak sibuk ketika dia sendiri sedang menumpukan pengajian untuk mendapatkan PhD.

Muhaya berkata, suaminya menggalakkan beliau memberikan inspirasi kepada orang lain kerana ia adalah ‘kekuatan’ yang dilihat ada pada dirinya.

“Seorang wanita, keutamannya adalah pada Allah dan reda suami membuatkan saya rasa lebih tenang. Yakin Allah juga reda, itulah kemuncak kehidupan kita selain doa ibu bapa,” katanya.

Gemar beri inspirasi sejak bergelar pelajar
Sejak bergelar pelajar, Muhaya sudah mula memberikan inspirasi dan berkongsi rahsia kecemerlangan beliau kepada rakan-rakannya.

“Saya bukan pakar motivasi tetapi adalah pencetus inspirasi daripada ruh kita hidup dari dalam ke luar. Ketika di universiti, saya bersyukur kerana mudah memahami apa yang dipelajari, jadi saya kongsikan dengan kawan-kawan ilmu itu.

“Sebenarnya sejak kecil, saya sudah ditanam dengan nilai seperti menolong orang, berakhlak mulia dan rajin belajar, seentiasa buat baik dan amanah.

“Semua pengalaman ini, saya kongsi dalam sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 2005, bagaimana nak cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Katanya apabila bergelar doktor mata, beliau perasan ada pesakit yang sakitnya sedikit tetapi tindakbalasnya terlampau. Ini bukan disebabkan penyakit fizikal tetapi jiwa. Cara seseorang melihat sesuatu situasi bergantung kepada bagaimana mereka dibesarkan.

Beliau ingin melihat orang lain keluar daripada cara yang kurang sihat supaya tidak terus menjadi mangsa kehidupan.

“Motto saya adalah bukan apa berlaku pada kita yang penting tetapi ‘apa berlaku’ iaitu daripada sesuatu peristiwa. Misi saya juga mahu menjadi orang lebih baik, bahagia membahagiakan.

“Ketika menyertai hospital Prince Court pada tahun 2007, saya menawarkan diri untuk memberi inspirasi kepada pekerja baharu dan pesakit Orang Kurang Upaya (OKU). Hidup ini sebenarnya bergantung kepada status jiwa dan hati kita. Celik mata fizikal, celik mata hati mereka dengan izin Allah,” katanya.

‘Suka isu jodoh kerana teringat pesan ayah’
Pesanan arwah ayahnya masih bermain di minda Prof. Muhaya kerana ia adalah pesanan yang agak memeranjatkan beliau.

“Apabila cukup umur (akil baligh), ayah sebut satu benda yang saya tak sangka. Ayah mendoakan supaya saya ringan jodoh pertemuan sebab katanya wanita paling bertuah adalah yang dapat suami baik.

“Pernah suatu ketika di sekolah, cikgu tanya apa cita-cita kami. Bila tiba giliran saya, saya cakap hendak berkahwin, ada keluarga dan jadi doktor. Semua orang ketawa. Sememangnya saya adalah orang pertama berkahwin pada usia 22. Pada tahun akhir, saya dapat anak sulung dan mengandung anak kedua ketika bergelar doktor mata,” katanya.

Justeru, beliau gemar menyentuh isu jodoh dalam ceramahnya kerana bagi Muhaya, perkahwinan adalah ibadah paling panjang.

“Wanita mampu mengoncang dunia. Sebab itulah, saya fokus pada isu jodoh kerana mahu wanita menjadi wanita solehah.

“Saya sentiasa mendoakan supaya setiap wanita ringan jodoh, menjadi isteri serta ibu mithali,” katanya yang turut merujuk pelbagai buku sebagai sumber untuk memberikan inspirasi kepada orang lain.

Datuk Prof. Dr. Muhaya Muhamad

• Asal: Kampung Ladang, Kuala Terengganu.

• Tarikh lahir: 1 Disember 1958.

• Anak: Dr. Noor Aniah (pakar mata) dan Dr. Noor Atiyah (Perubatan)

Pendidikan:
• Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-1980 – 1985.
• Sarjana Surgeri Oftalmologi UKM- 1991.
• Sarjana Perubatan di National University of Singapore, NUS.1991
• PhD Ocular Immunology di Universiti London-1998.

Kejayaan:
• Pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur lasik dengan mesin Vismax Femtosecond.
• Wanita Islam pertama menerima pengiktirafan sebagai Ahli Felo Royal College of Surgerons (FRCS) Edinburgh.
• Anugerah Hadiah Perkhidmatan Unggul Istimewa daripada Akademi Oftalmologi Asia Pasifik-2005.
• Berjaya menulis 13 buku berkonsep inspirasi.

Pingat:
• Pingat Jasa Negara (PJN) (2016)
• Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan dan Selangor (2015)
• Tokoh Ilmuwan Selangor (2010)
• Anugerah Dakwah Wanita Negara (2015)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×