Kita kini berada dalam Bulan Kebangsaan, iaitu dari awal Ogos sehingga 19 September ini. Dalam bulan ini akan disambut hari kemerdekaan negara (31 Ogos) dan Hari Malaysia (19 September). Pada Bulan Kebangsaan inilah seluruh Keluarga Malaysia harus menzahirkan rasa cinta atau semangat patriotisme terhadap tanah air tercinta. Tidak bermakna rasa cinta ini lenyap pada bulan-bulan lain. Cuma ia ‘terperam’ dalam sanubari rakyat. Selagi tegak berdiri sebagai negara merdeka berdaulat, selagi itulah rasa cinta dan sayang terhadap tanah air tetap ada dalam jiwa rakyat.
Justeru, Bulan Kebangsaan boleh dianggap sebagai bulan untuk ‘mengecas semula’ semangat patriotisme yang sepatutnya dizahirkan dengan kemegahan mengibar Jalur Gemilang dan pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan semangat cintakan tanah air. Namun, ia belum begitu terserlah dan masih perlukan sokongan kerajaan.
Rasa kecintaan kepada negara adalah fitrah manusia. Ia merupakan conditio sine quanon (keadaan yang harus ada dalam minda dan jiwa setiap rakyat sesebuah negara). Ia penting bagi memastikan keberadaan negara bangsa tidak diancam atau dimusnahkan oleh musuh. Dengan semangat patriotisme itu juga, negara dibangunkan bagi mencapai kemajuan dan kemakmuran untuk dinikmati oleh seluruh rakyat. Semangat patriotisme yang sejati tidak akan mengizinkan musuh menginjak-injak atau memperlekeh kedaulatan, hak dan kepentingan negara.
Semangat patriotisme jugalah yang akan membina rasa kebersatuan dan kebersamaan kita. Kita bersatu dan bersama dalam satu keluarga besar dikenali Keluarga Malaysia. Walaupun Keluarga Malaysia bersifat heterogen dengan kepelbagaian kaum, etnik dan agama, namun perasaan kebersamaan dan kebersatuan tinggi inilah yang dapat membangkitkan kesedaran nasional dalam satu kesatuan wilayah geopolitik terbentang dari Perlis hingga Sabah dinamakan Persekutuan Malaysia.
Sikap patriotisme positif inilah yang akan mendorong kita sentiasa mempertingkat daya usaha dan kerja keras untuk mengisi kelangsungan hidup negara bangsa, lebih-lebih lagi dalam usaha membangun semula seluruh aspek kehidupan setelah dilanda pandemik Covid-19, dua tahun lalu. Justeru, dalam konteks semangat patriotisme fasa endemik ini, seluruh Keluarga Malaysia harus membangkitkan tekad untuk memulih dan membangun masa depan negara supaya terus maju dengan cemerlang.
Walaupun sambutan Bulan Kebangsaan mengingatkan tentang masa lampau, iaitu pelbagai peristiwa sejarah yang pernah dilalui, khususnya sebelum negara merdeka daripada penjajahan British, namun memahami tuntutan kehidupan masa kini dan masa depan adalah amat penting supaya wawasan mencapai sebuah negara maju di bawah acuan sendiri tidak terbantut.
BOM ATOM
Kita juga harus sedia berkorban atas semangat patriotisme untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang pencerobohan musuh. Namun, patriotisme bukan semata-mata perasaan rela berkorban dengan mengangkat senjata membela dan mempertahankan negara daripada serangan fizikal musuh tetapi juga harus dilihat sebagai pendorong untuk sentiasa berusaha mempertingkat dan mempersiap diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi membangun negara dalam semua aspek kehidupan.
Kelangsungan negara bangsa ini mesti diisi dengan kesediaan rakyat untuk bekerja keras sesuai dengan bidang, kemahiran dan kepakaran masing-masing bagi mencapai wawasan negara.
Semangat bekerja rakyat seharusnya dihalakan untuk meningkatkan kedudukan dan martabat bangsa di pentas dunia. Itulah yang pernah ditunjukkan oleh rakyat Jepun selepas Hiroshima dan Nagasaki dimusnahkan oleh bom atom tentera udara Amerika Syarikat pada Ogos 1945.
Setelah musnah teruk dan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua, rakyat Jepun bangkit atas semangat patriotisme dan nasionalisme tinggi untuk membina semula negaranya sehingga menjadi berpengaruh dalam ekonomi dunia.
Saya juga ingin menegaskan bahawa patriotisme sejati seharusnya tegak di atas jati diri Keluarga Malaysia (bangsa Malaysia) berasaskan nilai-nilai dan budaya rohani bangsa. Dalam konteks ini, kita tidak boleh meminggirkan Rukun Negara yang mengandungi lima prinsip. Bukankah ikrar rakyat untuk menumpukan seluruh tenaga dan usaha bagi mencapai hasrat negara digariskan di bawah lima objektif Rukun Negara sebagai satu bentuk pernyataan semangat patriotisme yang tinggi?
Kita juga tidak boleh lupa kepada semangat perlembagaan negara yang mengandungi elemen-elemen dan nilai-nilai kontrak sosial. Kedua-duanya, Rukun Negara dan perlembagaan negara mampu membina watak dan jati diri bangsa Malaysia, sekali gus membina semangat patriotisme yang kuat terhadap negara tercinta ini.
Kesimpulannya, nilai dan semangat patriotisme yang tertanam dalam jiwa Keluarga Malaysia penting sebagai pendorong dan pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan negara. Cinta terhadap negara yang tidak berbelah bahagi membangkitkan semangat rela berkorban mempertahankan negara daripada ancaman dan pencerobohan musuh sama ada dalam bentuk psikologi atau fizikal. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










