Halal tak semestinya perlu ada logo

Halal tak semestinya perlu ada logo

ANTARA produk yang dijual di kedai runcit Malaysian Groceries di Punchbowl berhampiran Sydney. - FACEBOOK MALAYSIAN GROCERIES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI seorang pelajar di luar negara, selain perlu memikirkan bajet kehidupan harian dan pelaksanaan ibadah, aspek pemakanan juga perlu dititikberatkan. Kehidupan di bandar-bandar besar seperti Sydney, Melbourne dan Adelaide di Australia berkemungkinan lebih mudah kerana terdapat pelbagai pilihan untuk kedai-kedai sembelihan daging halal.

Saya tinggal di kawasan luar bandar, iaitu Ourimbah di wilayah New South Wales (NSW). NSW lebih dikenali dengan Sydney dan bersifat antarabangsa, pastinya akses kepada makanan halal sangat mudah didapati. Bahkan ada restoran dan kedai runcit, Malaysian Groceries tidak jauh dari pusat bandar Sydney terletak di daerah Punchbowl.

Produk daging lembu dan kambing halal tidak mudah diperoleh di sekitar tempat tinggal saya kerana jumlah orang Islam amat terhad dan kebanyakannya mendiami di kawasan-kawasan lain. Rempah-ratus dan produk dari Malaysia pula amatlah terhad dan harganya jauh lebih mahal berbanding di pusat bandar.

Pada peringkat awal, saya sangat gusar kerana rata-rata pasar raya seperti Coles, Woolworth dan Aldi di sekitar Ourimbah tidak menjual daging dan ayam berlogo halal. Sebagai orang Melayu, menggantikan hidangan berunsurkan daging dan ayam dengan pilihan seperti telur dan cendawan dalam diet harian sukar diterima dan sudah tentu cepat muak.

Untuk mendapatkan produk sembelihan halal, saya perlu menempuh perjalanan dari Ourimbah ke Sydney sekitar dua jam dengan pengangkutan awam, manakala ke Punchbowl kira-kira dua jam 30 minit.

Seperti Malaysia, logo halal adalah indikator kehalalan bagi setiap produk tempatan. Di sini juga terdapat sistem logo halal mereka sendiri. Tetapi sedikit unik kerana walaupun banyak produk di pasaran memiliki pensijilan halal, mereka tidak meletakkan logo halal pada label makanan. Saya mendapat maklumat ini daripada Imam Masjid Gosford (daerah bersebelahan Ourimbah) selepas selesai solat Jumaat.

BOIKOT

Menurutnya, tidak semua syarikat dan produk memaparkan logo halal masing-masing. Imam tersebut mengesyorkan beberapa jenama ayam dan daging yang ada sijil halal. Apabila disemak, ternyata memang ada beberapa produk di pasar raya mempunyai sijil halal tetapi tidak memaparkan logo halal. Contohnya, jenama Lilydale walaupun diperakukan halal oleh Persekutuan Majlis Islam Australia (AFIC) tetapi badan itu tidak memaparkan logo halal pada produk.

Situasi seperti ini bukanlah pelik kerana sekitar 2014 hingga 2015, ada kempen besar-besaran yang mendakwa dana diambil oleh badan-badan pensijilan halal di Australia disalurkan kepada kumpulan-kumpulan keganasan terutama di Asia Barat. Kempen ini diadakan berikutan ideologi Islamofobia yang berleluasa di seluruh dunia ketika itu. Kempen ini secara tidak langsung menakutkan pengeluar daging tempatan kerana ia memberi kesan kepada jualan akibat boikot oleh pembeli.

Bahkan Australia yang penduduk Islam hanya 2.6 peratus, semestinya mempamerkan logo halal pada produk harian bukanlah menjadi kemestian kerana sasaran pasaran utama adalah penduduk tempatan yang hampir kesemuanya bukan Islam. Justeru, penduduk Muslim perlu kreatif untuk membeli makanan halal, selain melakukan semakan kendiri secara dalam talian, membaca senarai ramuan pada produk juga sedikit sebanyak membantu untuk mendapatkan barangan keperluan yang terbaik. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar sarjana kedoktoran sains makanan di Kolej Kejuruteraan, Sains & Alam Sekitar, The University of Newcastle, Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×