PENGANJURAN pelbagai konsert kebelakangan ini memperlihatkan perkembangan sihat sektor industri muzik. Perkembangan itu menyuntik nilai positif setelah sekian lama industri bergerak lesu, susulan pandemik Covid-19 menyebabkan penggiatnya ketiadaan sumber pendapatan yang jelas.
Ketika itu, masa depan industri seakan kabur, malah ramai anak seni tidak berani menanggung risiko bagi melabur wang mahupun idea besar berikutan bimbang terduduk rugi.
Bagaimanapun, bagi Pengarah Urusan Khatulistiwa Production, Carl Selvarajah, pandemik dianggap sebagai masa terbaik untuk mencambahkan idea dan kreativiti hingga tercetus ilham menganjurkan konsert Nyawa Akim & The Majistret And Azlan & The Typewriter.
Carl melihat konsert itu sebagai usaha anak seni untuk bangkit mengatur semula langkah dan menghidupkan kembali kemeriahan industri.
“Setahun juga saya fikirkan semasak-masaknya untuk menganjurkan konsert. Ketika kerajaan melaksanakan perintah berkurung, saya terfikir apa perlu dibuat. Inspirasi utama ketika itu adalah untuk menganjurkan konsert.
“Ketika semua orang berkurung akibat pandemik, ramai yang rindu untuk menyaksikan artis kesayangan mereka buat persembahan. Ramai yang menonton persembahan artis menerusi media sosial atau secara atas talian, tetapi perasaannya tidak sama.
“Jadi, saya fikir mengapa tidak kita adakan konsert besar-besaran. Ini juga adalah antara usaha mengubati kerinduan peminat yang mahu menyaksikan dua band terkemuka ini yang boleh dikatakan sudah lama tidak beraksi,” katanya.
Kebetulan melihat ramai artis lain turut mengadakan konsert, Carl menganggap, ia sebagai petanda baik industri hiburan kembali bernafas.
“Kebanyakan artis yang buat konsert, baru-baru ini terdiri daripada mereka yang bertaraf legenda. Contohnya, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Search dan Wings. Semuanya hebat-hebat.
“Tetapi, bagaimana pula dengan kelompok artis yang saya kategorikan sebagai ‘The Future Legends’? Contohnya seperti Akim dan Azlan. Mereka ini pelapis kepada generasi band terdahulu.
“Bagi saya, kedua-duanya memiliki aura yang tersendiri dan seharusnya bakat mereka ini dihargai dan diangkat tinggi. Susah nak jumpa suara seperti dua vokalis ini sekarang,” katanya.
Menganggap Akim dan Azlan sebagai bintang yang mampu menggegarkan arena muzik rock, penganjuran konsert yang menggabungkan dua nama ini barangkali sudah lama didambakan peminat.
Memuji mereka mempunyai potensi untuk bergelar legenda muzik tanah air, Carl menaruh kepercayaan, konsert Nyawa yang bakal berlangsung pada 16 September ini akan menjanjikan kepuasan buat peminat.
“Terus-terang, apabila dimaklumkan jualan tiket konsert laris, ia membuatkan saya cukup teruja. Cuma, saya faham, sebagai peminat, apabila terlalu ramai artis buat konsert, mereka terpaksa bijak memilih.
“Kalau dulu, setahun mungkin akan ada empat konsert dianjurkan. Selepas pandemik, sebulan boleh jadi empat atau lima konsert diadakan.
“Tetapi, tidak mengapa sebab saya percaya, setiap artis ada kelompok peminat tersendiri yang akan memberikan sokongan. Bagi saya, konsert Nyawa ini adalah permulaan. Selepas ini akan ada banyak lagi penganjuran konsert di bawah jenama sama, tetapi artisnya berbeza,” katanya.
Azlan jaga suara dan stamina
Bersetuju dengan Carl berhubung penganjuran pelbagai konsert pada waktu ini, vokalis kumpulan Azlan & The Typewritter bagaimanapun, terkejut dengan sambutan dan sokongan peminat.
Menurut Azlan, secara peribadi, dia melihat situasi ini sebagai pertumbuhan yang sihat, meskipun ia menyebabkan peminat sukar membuat pilihan.
“Agak menarik, malah seolah-olah trend pula apabila berpusu-pusu orang menganjurkan konsert. Orang pergi konsert seperti pergi tengok wayang. Bagi saya, ia perkembangan yang sihat.
“Cuma, peminat mungkin keliru konsert mana yang perlu mereka hadiri. Tidak ada masalah kerana masing-masing mempunyai pilihan artis yang diminati. Namun, saya tetap berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong band saya dan Akim & The Majistret dari dulu hingga sekarang,” katanya.
Berkongsi mengenai penganjuran konsert Nyawa, kata Azlan, dia teruja kerana ia merupakan konsert pertama menyaksikan kolaborasi antara dua buah band ini.
“Akim bagi saya, ada kekuatan tersendiri. Ketika penganjur datang bertanya, siapa gandingan sesuai dengan band kami untuk konsert ini, saya cadangkan Akim & The Majistret.
“Bagi saya, genre muzik kami tak terlalu jauh dan peminat boleh menerimanya dengan baik. Lagipun, rasanya sudah lama kita tidak nampak Akim buat persembahan live.
“Satu lagi, kedua-dua buah band, memiliki jenama ‘& The’ yang menonjolkan keunikan kami, selain muzik yang dibawa,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai persiapannya sempena konsert, kata Azlan, penjagaan suara dan stamina adalah dua perkara utama yang menjadi tumpuannya.
“Saya tak nak buat latihan terlalu awal. Sekurang-kurangnya, 10 hari sebelum konsert baru saya akan mulakan latihan menyanyi. Kalau buat awal, nanti akan keletihan dan kacau suara.
“Memandangkan usia semakin bertambah, stamina diri juga sudah tidak seperti dulu. Jadi, kenalah jaga bab itu dari awal,” katanya berseloroh.
Akim rujuk buku ‘mantra’ AF
Sementara itu, Akim Ahmad, ketika ditanya mengenai persiapan konsert tidak menolak, dia perlu melakukan banyak latihan nyanyian dalam usaha memberikan yang terbaik kepada penonton.
Kata Akim, dia turut berguru dengan isterinya, Stacy Anam, yang juga merupakan kelahiran program realiti, Akademi Fantasia (AF).
“Saya dan Stacy merupakan bekas pelajar AF. Cikgu kami sama, jadi secara tak langsung, kami belajar perkara yang sama. Stacy pula masih menyimpan buku lama ketika di AF dulu.
“Saya buat rujukan menggunakan buku itu. Ia seperti diari AF yang banyak membantu saya dan Stacy dalam teknik nyanyian. Malah, silibus yang sama kami turunkan kepada artis di bawah naungan kami. Semuanya daripada buku ‘mantra’ itu,”katanya.
Tambah Akim, selain itu, dia juga sedar perlu menitikberatkan aspek kesihatan fizikal, terutama untuk mengekalkan stamina ketika beraksi di konsert kelak.
Konsert Nyawa Akim & The Majistret And Azlan & The Typewriter akan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 16 September ini. Tiket untuk menonton berharga RM150, RM180, RM230 dan RM280 boleh didapati menerusi www.ticket2u.com/nyawa.











