Simbolik penghargaan Fazura kepada peminat - Utusan Malaysia

Simbolik penghargaan Fazura kepada peminat

FAZTIVAL Fazura 2022 menghimpunkan nama besar Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA segelintir peminat muzik hampa untuk mendapatkan tiket konsert artis kegemaran mereka disebabkan harga terlalu mahal, pelakon dan usahawan, Nur Fazura Sharifuddin, 38, prihatin dan mendengar keluhan mereka.

Pelakon jelita yang bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan, memutuskan untuk menggembirakan peminat dengan menawarkan harga tiket mampu milik sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan.

“Kita tahu, ramai yang masih dalam kesusahan dan berusaha untuk bangkit semula selepas pandemik. Tetapi, mereka juga mahu hilangkan stress dengan menonton konsert.

“Saya cuba letakkan diri dalam situasi mereka. Saya mahu semua peminat rebut peluang untuk tonton konsert itu nanti.

“Tiket tidak akan dijual pada harga yang mahal. Itu bertepatan dengan moto perniagaan saya iaitu #miliksemua. Insya-Allah, semua dapat datang,” katanya.

Faztival Fazura 2022 bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil dengan persembahan barisan artis terkemuka dalam dan luar negara seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Amir Masdi, Ippo Hafiz serta Zizi Kirana.

Turut membuat penampilan khas adalah Ahmad Band dan maestro muzik Indonesia, Ahmad Dhani bersama isterinya, Mulan Jameela.

Fazura berkata, penganjuran konsert tersebut juga sebagai tanda terima kasih atas sokongan tidak berbelah bagi peminat, ejen dan stokis terhadap produk yang dihasilkannya.

“Sejujurnya, saya mahu meraikan peminat dan pembeli produk, stokis serta ejen yang selama ini setia bersama. Saya mahu raikan pencapaian dan hargai mereka.

“Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada mereka yang setia bersama dari awal saya bertapak dalam bidang perniagaan,” katanya yang kini memiliki lebih 10,000 ejen dan stokis berdaftar bagi produk yang dihasilkannya.

Tajaan sepenuhnya Fazura

Tidak siapa pernah menyangka, Fazura yang bermula sebagai pelakon, seterusnya beralih kepada bidang nyanyian dan usahawan, kini mampu menganjurkan sebuah konsert mega.
Fazura yakin, segala-galanya mampu dikecapi dengan kesungguhan dan kepercayaan yang tinggi terhadap keupayaan diri.

Katanya, dia tidak pernah terfikir mampu menjadi penganjur konsert besar, apatah lagi selepas ekonomi negara hampir tersungkur dek cengkaman Covid-19.

“Pada awalnya, saya hanya mahu anjurkan konsert secara kecil-kecilan. Tetapi, itulah dia yang dikatakan rezeki.

“Saya memang merancang untuk menjadikan konsert ini sebagai acara tahunan. Mungkin tahun depan, kalau ada lagi, kami akan jemput artis lain pula,” katanya.

Dalam pada itu, ibu seorang cahaya mata itu turut meluahkan hasrat untuk merancakkan industri muzik dengan membuat pelaburan menaja penyanyi dalam dan luar negara menjayakan persembahan di negara ini.

“Saya merancang untuk membuat pelaburan kepada mana-mana artis yang ingin membuat konsert di sini. Itu yang boleh saya kongsikan setakat ini, mudah-mudahan menjadi kenyataan.

“Banyak yang saya belajar daripada penganjuran konsert ini. Tidak mudah membawa artis luar, banyak prosedur dan proses perlu dilalui tetapi semua itu memberikan pengalaman manis buat saya,” katanya.

Tiket dijual bermula hari ini pada harga bermula dari RM147 di laman sesawang www.ticket2u.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×