SC, UM dan Monash University jalin kerjasama

SC, UM dan Monash University bekerjasama tingkat kefahaman tadbir urus korporat

DARI kiri: Nafis Alam, Salmah Bee Mohd. Mydin dan Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin menunjukkan dokumen kerjasama antara Monash University Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Universiti Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM) dan Monash University Malaysia untuk bekerjasama dalam beberapa siri program ke arah memupuk pemahaman awal tentang prinsip, amalan dan isu tadbir urus korporat dalam kalangan belia.

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG) itu bertujuan meningkatkan penglibatan dengan segmen belia dan menerapkan pemahaman awal yang lebih baik tentang tadbir urus korporat.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, kerjasama tersebut didorong oleh matlamat untuk melibatkan dan memperkasa golongan muda serta keperluan untuk menyemai nilai integriti dan akauntabiliti awal dalam kalangan mereka.

Katanya, kerjasama tersebut membuka laluan kepada SC dalam penglibatan bersama pelajar dan ahli fakulti melalui syarahan jemputan melibatkan pengamal dan pakar industri CG .

“Ini bertujuan untuk meluaskan pendedahan pelajar kepada perbincangan dan perkembangan semasa berhubung tadbir urus korporat. Kami berharap usaha bersama ini akan memberi impak berpanjangan dan positif kepada para belia.

“Peluang untuk penyelidikan bersama juga akan diterokai, yang hasilnya akan menyumbang kepada pembangunan dasar dan inisiatif strategik SC pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor berkata,  inisiatif tersebut diharap dapat memupuk penghayatan prinsip tadbir urus korporat dan amalan terbaik yang berkaitan dalam kalangan pelajar.

“Kami berharap kerjasama ini akan mendorong pembangunan pemimpin korporat masa depan yang mempunyai pandangan yang kukuh dalam tadbir urus korporat yang baik,”  ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash Malaysia, Profesor Matthew Nicholson berkata, Monash komited terhadap pembangunan modal insan di Malaysia melalui kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan yang merupakan matlamat yang dikongsi bersama.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran SC, Salmah Bee Mohd. Mydin, Dekan Fakulti Undang-undang UM, Profesor Madya Datuk Dr. Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Ketua Fakulti Perniagaan Monash, Profesor Nafis Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×