SELEPAS Perang Candu semasa pemerintahan Dinasti Qing, ekonomi China semakin merosot, ketenteraman masyarakat turut terjejas. Rakyat di kawasan pantai Guangdong, Fujian pun berlumba-lumba meninggalkan China bagi mencari kehidupan baharu.
Berikutan perkembangan itu, ramai rakyat China berpindah dan menetap di Semenanjung Tanah Melayu. Faktor pendorong utama ialah sejak zaman dahulu sudah ada golongan peniaga dari China datang berniaga di Tanah Melayu. Semasa pemerintahan Dinasti Ming, Laksamana Cheng Ho melawat Melaka dalam pelayaran ke negara-negara di Asia.
Setelah pendatang dari China menetap di sini, mereka memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan masyarakat Cina tempatan, misalnya pembukaan tanah perkuburan dan penubuhan sekolah. Pada zaman penjajahan British, banyak sekolah diwujudkan. Namun, sekolah-sekolah itu lebih bertujuan mendidik anak-anak golongan bangsawan dan memupuk pelapis penjawat awam. Oleh itu, masyarakat Cina terpaksa membuka sekolah sendiri bagi menampung keperluan pendidikan anak-anak mereka.
Sepanjang penjajahan British, banyak persatuan dan pertubuhan diasaskan oleh masyarakat Cina sebagai tempat pertemuan bagi mengeratkan hubungan dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka. Tidak dapat dinafikan penjajah British lebih mengutamakan penghasilan bahan-bahan mentah di Tanah Melayu untuk dieksport ke negara-negara Eropah.
Pelaksanaan dasar pecah dan perintah ke atas kumpulan penduduk kaum berbeza di Tanah Melayu sesungguhnya bertujuan menjimatkan kos pentadbiran kerajaan British. Kerajaan British dilihat sengaja membenarkan masyarakat Cina mengendalikan urusan kaum mereka secara sendiri. Hal ini mendorong banyak persatuan Cina membuka dan mentadbir kemudahan asas masyarakat itu seperti tanah perkuburan, tempat menjalankan upacara keagamaan dan sekolah bagi mendidik anak-anak muda.
Masyarakat Cina memang bersungguh-sungguh menubuhkan sekolah. Pada peringkat awal, kebanyakan tapak pembinaan sekolah disediakan oleh dermawan yang pemurah. Lembaga pengelola pula berikhtiar mengumpulkan dana bagi pembinaan bangunan sekolah dan penyediaan segala kelengkapan. Yuran sekolah dibayar murid sememangnya tidak cukup untuk membayar gaji guru-guru. Oleh itu, lembaga pengelola sekolah berusaha mendapatkan dana tambahan melalui pelbagai program kutipan derma.
Pada suatu ketika dahulu, Derma Getah diperkenalkan iaitu apabila si pekebun berjaya menjual sejumlah hasil getah, mereka akan menderma sebahagian kecil pendapatan daripada jualan untuk membantu pembinaan sekolah. Hasil usaha kolektif masyarakat Cina yang gigih itu, ratusan sekolah Cina berjaya dibina berdekatan ladang getah di seluruh negara pada zaman penjajahan British lagi.
UNIVERSITI NANYANG
Sehingga kini semangat menyokong sekolah masih menebal dalam kalangan masyarakat Cina. Mereka sedia memberikan sumbangan dalam menambah baik segala kelengkapan dan kemudahan pengajaran, baik di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun kolej.
Masyarakat Cina sememangnya mempunyai rasa kesyukuran. Bagi yang pernah menerima bantuan daripada orang terdahulu, mereka tidak keberatan membantu generasi baharu mengikut kemampuan sebagai membalas jasa. Semangat ini diamalkan dan diwarisi dari generasi ke generasi.
Pada hakikatnya, semangat mementingkan pendidikan dalam kalangan masyarakat Cina telah wujud sejak turun-temurun di China. Dalam tanggapan orang Cina, tiada apa yang lebih penting daripada pendidikan.
Suatu ketika dahulu, kedudukan masyarakat di China dipengaruhi oleh heirarki sosial. Oleh itu, ibu bapa amat menggalakkan anak-anak mereka menerima pendidikan. Pada masa itu, pelajar yang tekun belajar dan lulus dengan cemerlang berpeluang memegang jawatan sebagai pegawai kerajaan. Mentaliti menjadi pegawai dan menabur bakti kepada negara sudah sebati dalam pemikiran dan jiwa orang Cina sejak zaman-berzaman.
Selepas keruntuhan Dinasti Qing dan pembentukan Republik China, rakyat di sana lazimnya beranggapan bahawa menerima pendidikan moden merupakan satu cara untuk mengubah keadaan ekonomi keluarga. Dermawan agung, Tan Kah Kee pula berpendapat, pendidikan dapat menyelamatkan negara. Beliau banyak berusaha meningkatkan kualiti masyarakat Cina melalui pendidikan kebangsaan. Beliau menubuhkan Universiti Xiamen dan mengasaskan Kampung Pembelajaran Jimei di Xiamen.
Pada masa sama, beliau menubuhkan beberapa sekolah menengah di Singapura. Kah Kee dikatakan mederma kesemua harta miliknya semata-mata untuk pembangunan pendidikan bangsa. Di samping itu, beliau berjaya mempengaruhi Tan Lark Sye, usahawan Cina terkemuka untuk memimpin kerja-kerja penubuhan Universiti Nanyang di Singapura pada 1950-an.
Selepas kemerdekaan Tanah Melayu, kebanyakan anak Cina dari keluarga miskin rajin belajar sehingga berjaya dan memperoleh pekerjaan yang baik selepas tamat persekolahan. Situasi ini banyak mengubah keadaan ekonomi keluarga mereka. Oleh sebab itu, sikap mementingkan pendidikan menjadi amalan murni dalam kalangan masyarakat Cina. Mereka sanggup mengikat perut demi pendidikan anak-anak. Sesungguhnya masyarakat Cina tidak berat tangan memberi sumbangan dalam hal pendidikan. Keadaan ini disebabkan mereka sedar kepentingan pendidikan dalam mengubah situasi keluarga dan meningkatkan kualiti bangsa.
Kini di seluruh negara terdapat lebih 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina dan 60 sekolah menengah persendirian. Hasil ini bukan disebabkan masyarakat Cina kaya raya dan berkemampuan untuk menubuhkan sekolah-sekolah tersebut, tetapi dipengaruhi oleh kesedaran kolektif mereka tentang kepentingan pendidikan yang berkualiti tinggi. Bagi masyarakat Cina, pendidikan merupakan asas untuk memperbaiki masa depan setiap insan, maka ia tidak seharusnya diabaikan oleh semua pihak. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










