KEBIMBANGAN terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini sangat merunsingkan semua pihak. Mereka ada asas untuk berasa sedemikian kerana kejadian merompak dan pembunuhan sering berlaku dan dipaparkan dalam media sehingga mendatangkan ketakutan serta perubahan gaya hidup yang drastik.
Jika dilihat kepada sejarah, nilai-nilai kemasyarakatan dan kemanusiaan diamalkan oleh orang-orang tua seperti bekerjasama dan saling mengambil berat, namun sekarang semakin dilupakan. Kini jiran tidak mengenali sesama mereka, jauh sekali mengambil berat aktiviti anak-anak. Masyarakat bersikap individualistik iaitu mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan hal orang lain.
Mereka juga sibuk mengejar kekayaan dan kesenangan selaras dengan nilai pegangan materialistik. Kecanggihan sistem komunikasi seperti telefon bimbit dan laman sosial merenggangkan lagi hubungan.
Saya melihat statistik peningkatan kadar jenayah pada hari ini adalah sangat tinggi. Antara sebabnya, undang-undang yang sifatnya diibaratkan sebagai satu ‘senjata’ sudah hilang fungsinya untuk digeruni oleh penjenayah. Tidak keterlaluan dikatakan juga, membunuh, merompak, merogol dilihat sebagai perbuatan yang tidak ditakuti lagi rentetan lemahnya penguatkuasaan undang-undang. Bahkan melanggar undang-undang juga menjadi perkara biasa kepada masyarakat sekiranya gejala ini tidak dibanteras dari sekarang.
Pihak pendakwaan juga dalam banyak keadaan gagal untuk membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah, lebih-lebih lagi jika penjenayah melantik peguam yang sangat mahir selok-belok perundangan jenayah.
Dalam keadaan tersebut, penjenayah mempunyai peluang dan ruang sangat luas untuk dibebaskan oleh mahkamah atas sebab teknikal walaupun hakikatnya merekalah yang melakukan jenayah tersebut. Jika sebelum ini penguat kuasa mempunyai suatu kuasa dan kelebihan untuk menahan pihak-pihak tertentu setelah siasatan dibuat dan terdapat kebarangkalian munasabah seseorang terlibat dalam perlakuan jenayah, namun kini tiada lagi kerana ia sudah dimansuhkan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan tidak telus oleh pihak tertentu.
Pada pandangan saya, undang-undang seperti ini amatlah perlu dan hendaklah diperbaiki dan diperelokkan. Perasaan gerun yang kian luntur membuatkan seseorang langsung tidak menghormati undang-undang dengan menganggapnya tidak memberi kesan besar kepada mereka. Langkah-langkah pencegahan juga perlu diperhebatkan bagi mendatangkan kegerunan ini. Namun, ia hendaklah dilakukan dengan telus supaya tidak menimbulkan sebarang elemen tohmahan sekali gus merendahkan integriti pihak berkuasa.
Pada hakikatnya seperti digagaskan syariat, undang-undang Islam yang memperuntukkan hukuman berat dan menggerunkan mampu untuk mengurangkan kadar jenayah dalam sesebuah negara. Di Arab Saudi, kadar jenayah di negara tersebut sangat rendah sehinggakan peniaga langsung tidak mempunyai perasaan syak mahupun takut barangan dicuri mahupun dirompak.
Mereka hanya menutup barang niaga dengan kain apabila tiba waktu menunaikan solat. Situasi ini sangat berbeza dengan kita yang terpaksa menggunakan kunci atau gril untuk memastikan barangan selamat daripada kecurian dan rompakan.
HUDUD, QISAS, TAKZIR
Dalam Islam, semua hukuman yang disyariatkan diklasifikasikan kepada tiga bentuk utama iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud secara jelas bersandarkan kepada al-Quran serta hadis dan hukumannya amatlah menggerunkan seperti rejaman, potong tangan dan sebatan. Bentuk hukuman ini juga secara tidak langsung memberikan impak yang besar kepada masyarakat agar tidak terjebak dalam jenayah.
Walaupun begitu, hukuman bukanlah sewenang-wenangnya dijatuhkan oleh hakim syarie. Kadar pembuktiannya adalah jauh lebih tinggi. Jika dalam undang-undang sivil, kadar pembuktian mestilah melampaui keraguan munasabah manakala hudud mesti melampaui sebarang keraguan untuk disabitkan dengan kesalahan.
Menariknya dalam konteks perundangan Islam, penjenayah masih tidak terlepas daripada dikenakan hukuman hudud kerana terdapat takzir.
Islam juga menitikberatkan sifat ihsan dalam ketegasan undang-undangnya. Misalnya, kepentingan mangsa dan keluarganya dapat dibela. Dalam situasi ini, konsep diyat memainkan peranan penting dengan memberikan pampasan sewajarnya kepada mangsa dan keluarganya bagi meringankan beban atau penderitaan ditanggung.
Saya berpandangan, dalam usaha mengekang kadar jenayah yang sentiasa meningkat saban hari, pendekatan digunakan mestilah mengandungi elemen ‘gerun’ untuk menakutkan penjenayah dengan hukuman yang bakal diterima jika disabitkan kesalahan.
Dalam masa sama, segala tindakan pihak berkuasa mestilah telus dan adil dalam memastikan hak orang dituduh dipelihara serta kepentingan mangsa dan keluarganya diberi perhatian sewajarnya.
Justeru, model dan indikasi dianjurkan Islam perlu dikaji dan diberi penekanan dalam membanteras jenayah di negara ini sekali gus menjadikan tiga teras utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran menjadi kenyataan. Syariah yang diadaptasi daripada al-Quran, hadis, ijmak dan qisas mampu menyelesaikan permasalahan ummah secara holistik dan efektif. Semoga rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana aman dan damai. – UTUSAN
PENULIS ialah Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.










