KUALA LUMPUR: Walaupun tiada pemberhentian projek kapal tempur pesisir (LCS) semasa zaman pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN), bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoal tindakan kerajaan itu pada 2017 yang didakwa membiarkan peruntukan terus dibuat kepada syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sehingga RM6.083 bilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, ia menunjukkan kelemahan kerajaan BN dari segi pengurusan dan pemantauan sekali gus menyebabkan wang yang disalurkan kepada BNS habis begitu sahaja tanpa menyiapkan walaupun satu daripada enam kapal tempur pesisir (LCS) seperti dijanjikan.
“Dari segi pemantauan dan pengurusan, memang kerajaan BN salah. Lebih-lebih lagi Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein boleh membuat pelancaran LCS di hadapan Sultan Perak, membuat tiang layar palsu berkayu bernilai RM400,000.
“Ini satu penipuan, bagaimana dia kata kapal LCS sudah siap? Habis sahaja pelancaran, kayu itu semua dibuang. Ia membabitkan wang rakyat. Bukan RM6 tetapi RM6 bilion,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pada 24 Ogos 2017, LCS pertama milik TLDM dilancarkan dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela berlangsung di dermaga BNS Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Semalam, pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pemberhentian projek LCS bukan disebabkan arahan pemberhentian kerja oleh kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).
Katanya, projek itu terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif BNS baharu, Azhar Jumaat mengakui terdapat salah urus kewangan serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.
Menurutnya, dapatan PAC mendapati, wujud perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 billion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan overrun cost atau kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, Hishammuddin perlu menjawab persoalan tersebut, mengapa membiarkan penyelewengan seperti itu berlaku.
“Mana boleh tidak salahkan mana-mana kerajaan sebab kerajaan BN ketika ini yang tidak memantau dari segi pengurusan kewangannya?
“Mengapa kerajaan begitu leka, acuh tak acuh? Ini wang rakyat RM6 bilion,” katanya. – UTUSAN










