KARIER politik mendiang Dr. Chen Man Hin lebih awal bermula di Singapura, iaitu bersama Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP. Bagaimanapun, ekoran pemisahan Singapura dari Malaysia, karier politik Man Hin bersama PAP terhenti.
Di tanah air, beliau tidak berputus asa dan cuba bersama beberapa rakan lain mengasaskan sebuah parti baharu. Kebetulan pada Disember 1965, berlaku pada waktu itu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang di Seremban, Negeri Sembilan. Parti baharu diasaskan oleh Man Hin iaitu DAP pada ketika itu masih lagi dalam proses penubuhan.
Namun, Man Hin yang bersosok tubuh kecil tampil berani mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas dan memilih menggunakan lambang bunga sakura (cherry blossom) bagi mewakili dirinya. Mengejutkan, lambang itu seakan memberikan tuah pada Man Hin dan beliau memenangi kerusi dipertandingkan dalam PRK berkenaan.
Bermula dari situ, karier politik Man Hin berkembang mekar sama seperti bunga sakura semasa musimnya. DAP seterusnya berjaya didaftarkan setahun kemudian. Kemenangan Man Hin di DUN Rahang membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan.
Man Hin terus menabur baktinya kepada rakyat dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang antara 1965 sehingga 1982. Beliau juga menjadi Ahli Parlimen Seremban Timor dari 1969 sehingga 1974 dan Ahli Parlimen Seremban dari 1974 sehingga 1982 dan 1983 sehingga 1990.
Pada pilihan raya umum (PRU) 1990, Man Hin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Seremban, Cubaan beliau pada 1995 dan 1999 di kerusi Parlimen Rasah juga menghampakan.
Ramai yang mengatakan, ia bukan lagi waktu untuk Man Hin tetapi beliau terus setia dengan perjuangannya bersama DAP. Beliau kemudian dilantik sebagai Penasihat Seumur Hidup parti itu.
Semalam, Man Hin tidak lagi dapat memberikan nasihat kepada DAP. Beliau meninggal dunia di kediamannya di Seremban kira-kira pukul 5 pagi pada usia 98 tahun.
Dalam pada itu, DAP menerusi kenyataannya menyifatkan sumbangan dan wawasan Man Hin tidak terkira sama ada kepada parti dan negara tercinta. Prinsip dan keberaniannya yang tidak berbelah bahagi tidak akan dilupakan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook juga menyifatkan pemergian Man Hin sebagai suatu kehilangan cukup besar buat parti itu dan juga kepada beliau secara peribadi.
“Tanpa Dr. Chen (Man Hin), DAP mungkin tidak sampai sehingga hari ini. Secara peribadi, saya mengenali mendiang sebagai ahli politik yang berwibawa dan terkenal serta seorang doktor yang cukup prihatin, sanggup membantu orang-orang miskin di Seremban.
“Semasa saya bertanding di Parlimen Seremban pada 2013, beliau juga sudi menjadi pencadang kepada saya. Saya amat terhutang budi kepada beliau dan Dr. Chen akan dikenang selama-lamanya,” katanya.
Man Hin dilahirkan di China pada 14 November 1924 dan berhijrah ke Malaya pada usia muda. Sebelum Perang Dunia Kedua, mendiang melanjutkan pengajian di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dari 1946 hingga 1952.
Selepas tamat pengajian, mendiang berkhidmat sebagai doktor di Singapura dan Hospital Seremban sehingga 1956. Man Hin kemudiannya membuka klinik di Jalan Tuanku Munawir,
Seremban yang masih beroperasi sehingga hari ini. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.










