Sime Darby perluas prospek di China, terbuka untuk M&A 

Sime Darby perluas prospek di China, terbuka untuk M&A 

JEFFRI SALIM DAVIDSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Bhd. sentiasa mencari peluang untuk memperluaskan prospek bahagian automotif terutamanya di China dan terbuka untuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, Kumpulan tersebut yang sudah beroperasi dengan jayanya di negara itu kira-kira tiga tahun lalu, mahu menambah bilangan pengedar di negara tersebut.

Katanya, China adalah pasaran yang diberi tumpuan untuk mengembangkan perniagaan bahagian automotif selain beberapa pasaran yang lain.

“Dari segi M&A, kami sentiasa mencari peluang. Ada yang belum dimulakan lagi dan ada juga yang tidak dapat diteruskan.

“Jadi, kami sentiasa menilai peluang untuk mengambilalih syarikat. Tapi buat masa ini belum ada lagi. Itu sahaja yang saya boleh beritahu,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan bagi suku keempat Sime Darby bagi tahun kewangan 2022 secara dalam talian di sini, hari ini.

Sime Darby Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM1.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM1.4 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, yang mengambil kira keuntungan sekali beri sebanyak RM272 juta daripada penjualan kepentingan Kumpulan dalam Tesco Malaysia.

Tanpa mengambil kira hasil jualan tersebut, untung bersih kumpulan menyusut sedikit pada kadar 4.3 peratus disebabkan untung yang lebih rendah bagi perniagaan perindustrian dan automotif di China, yang terjejas akibat kemerosotan jualan seluruh industri peralatan berat, kekangan inventori dan sekatan Covid-19.

Sementara itu, Jeffri Salim memberitahu, pihaknya menjangka tahun kewangan semasa akan kekal mencabar.

“Ini disebabkan oleh inflasi yang tinggi, peningkatan kadar faedah dan kos pinjaman yang tinggi. Perkara ini mungkin memberi kesan pada sentimen pengguna.

“Rantaian bekalan juga belum betul-betul selesai sepenuhnya. Covid-19 di China juga memberi kesan pada perniagaan kami. Namun, kami agak yakin dengan asas perniagaan yang pelbagai di seluruh Asia Pasifik serta pasukan pengurusan yang cekap,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×