Tak perlu iktiraf Taliban kerajaan sah Afghanistan

Tak perlu iktiraf Taliban kerajaan sah Afghanistan

PARA pejuang Taliban meraikan ulang tahun pertama mereka kembali memerintah Afghanistan di Kabul. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENAP setahun kumpulan Taliban menguasai semula Afghanistan selepas mereka berjaya menawan Kabul, ibu kota Afghanistan pada 15 Ogos 2021. Setahun sudah berlalu, sehingga kini masih tiada negara mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan yang sah memerintah Afghanistan.

Memandangkan kumpulan Taliban menggunakan cara kekerasan dan rampasan kuasa untuk kembali memerintah, banyak negara merasakan tidak wajar untuk mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan yang sah di Afghanistan. Semua negara termasuk Malaysia diminta memberi pertimbangan teliti dan serius sebelum ingin mengiktiraf kumpulan Taliban yang telah menguasai Afghanistan melalui proses kekerasan dan rampasan kuasa di negara berkenaan pada tahun lalu sebagai kerajaan yang sah.

Perlu ditegaskan, kumpulan Taliban merampas kuasa di Afghanistan melalui kekerasan dan bukannya melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Melalui kekerasan, kumpulan Taliban menggulingkan pemerintahan Afghanistan yang sah di bawah Presiden Ashraf Ghani yang telah dipilih melalui proses demokrasi dan pilihan raya. Setelah berjaya merampas kuasa, kumpulan Taliban ini menubuhkan sebuah kerajaan Emirat Islam Afghanistan bagi menggantikan kerajaan Republik Islam Afghanistan.

Untuk rekod, kumpulan Taliban pernah menguasai pemerintahan Afghanistan pada 1996 melalui cara kekerasan juga. Mereka memerintah Afghanistan sehingga 2001. Kumpulan Taliban telah disingkirkan daripada pemerintahan Afghanistan pada 2001 apabila Amerika Syarikat melancarkan perang terhadap Afghanistan akibat serangan 11 September di New York yang mengorbankan banyak nyawa orang awam. Serangan 11 September dilakukan oleh Osama Bin Laden, ketua kumpulan militan Al-Qaeda yang telah diberi tempat untuk bertapak di Afghanistan pada era pemerintahan kumpulan Taliban.

Untuk sekian lama, kumpulan Taliban dikenali di serata dunia sebagai sebuah kumpulan yang gemar melakukan kekerasan dan keganasan serta gemar menggunakan strategi perang untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa pemerintahan negara. Semua tindak-tanduk kekerasan dan keganasan mereka telah direkodkan oleh pertubuhan antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia.

DISKRIMINASI

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika kumpulan Taliban memerintah Afghanistan sekitar 1990-an telah melakukan banyak kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Afghanistan terutama kaum wanita. Apa yang lebih memalukan, kekejaman dan penindasan ini dilakukan atas nama Islam. Perbuatan kumpulan Taliban ini secara tidak langsung telah mencemarkan nama baik agama Islam sendiri dan nama umat Islam di serata dunia.

Menurut beberapa laporan yang dikeluarkan oleh PBB sendiri dan beberapa badan hak asasi manusia, ketika kumpulan Taliban memerintah Afghanistan dahulu, ruang dan peluang kaum wanita untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan sama seperti kaum lelaki menjadi kecil. Kumpulan Taliban ini juga dilaporkan terlibat dengan kegiatan penyeludupan manusia. Mereka turut dilaporkan telah melakukan banyak pembunuhan terhadap orang awam khususnya selepas mereka berjaya disingkirkan daripada kuasa pada 2001 melalui beberapa siri serang hendap.

Kumpulan Taliban ini juga dilaporkan melakukan amalan diskriminasi serta gangguan terhadap golongan-golongan tertentu yang tidak bersefahaman dengan mereka.

OIC

Terdapat banyak lagi aduan dan tuduhan dibuat terhadap kumpulan Taliban sepanjang pemerintahan mereka dahulu. Walaupun kumpulan Taliban melalui kenyataan media mereka selepas berjaya menawan Kabul, ibu negara Afghanistan pada tahun lalu menyatakan bahawa mereka tidak akan melakukan lagi kekerasan dan keganasan seperti yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.

Persoalan perlu ditanya oleh kita semua, bolehkah kumpulan Taliban ini dipercayai? Memandangkan kumpulan Taliban ini masih mengekalkan cara lama untuk mendapatkan kuasa pemerintahan di Afghanistan iaitu melalui cara kekerasan dan keganasan, kita tidak boleh percayakan kata-kata dan sebarang janji yang telah diberikan oleh mereka.

Sehingga hari ini, semua negara dunia masih belum menyatakan pengiktirafan mereka terhadap kumpulan Taliban sebagai pemerintah sah termasuklah Malaysia. Adalah diharapkan Malaysia dan semua negara dunia tidak memberi pengiktirafan terhadap kumpulan Taliban sebagai pemerintah sah negara itu. Malaysia dan semua negara dalam dunia perlu bersatu serta menekan kumpulan Taliban untuk segera menghentikan segala tindakan kekerasan dan keganasan mereka terhadap penduduk di sana serta mengembalikan pemerintahan kerajaan Afghanistan kepada kerajaan demokratik yang telah dipilih oleh rakyat pada proses pilihan raya lalu.

Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam paling berpengaruh boleh menggunakan kedudukannya untuk meminta semua negara Islam bersatu menghantar nota bantahan kepada kumpulan Taliban kerana melakukan proses kekerasan, keganasan dan rampasan kuasa di Afghanistan.

Malaysia juga perlu meminta semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan sesi tergempar bagi membincangkan isu Afghanistan ini dengan segera. Semua negara Islam boleh mengenakan sebarang jenis sekatan kepada kumpulan Taliban bagi memaksa menyerahkan kuasa yang telah mereka rampas.

Sekiranya negara-negara dunia dan negara-negara Islam hanya berdiam diri, dibimbangi kumpulan Taliban akan kekal menguasai Afghanistan buat selama-lamanya dan ia juga boleh menghantar satu isyarat yang salah kepada semua negara dunia di mana sesebuah kerajaan boleh ditubuhkan melalui cara kekerasan, keganasan dan rampasan kuasa pada masa akan datang. – UTUSAN

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×