Sinar buat pelarian

Sinar buat pelarian

SERBUAN dan tangkapan oleh pihak berkuasa menimbulkan perasaan takut dalam kalangan komuniti pelarian. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMI mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan pelarian dan individu tanpa kerakyatan sebagai kumpulan rentan. Pengumuman tersebut dibuat semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kabinet bagi kesejahteraan golongan rentan.

Sewaktu dilanda krisis Covid-19, banyak negara meningkatkan penutupan sempadan dan operasi syarikat serta sekatan pergerakan untuk membendung penularan wabak yang mengganas.

Hal ini menimbulkan cabaran besar buat kedua-dua kumpulan pelarian berdokumen dan tidak berdokumen.

Misalnya, kehadiran kumpulan tersebut di negara ini mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan dengan sesetengah menyalahkan mereka kerana menyebarkan virus dan membebankan sumber kerajaan. Persepsi buruk ini akhirnya mengakibatkan serbuan Jabatan Imigresen besar-besaran ke atas komuniti migran yang tinggal di Kuala Lumpur.

Individu yang ditangkap kemudian dihantar ke pusat tahanan sebagai persediaan untuk penghantaran pulang ke negara asal masing-masing. Serbuan dan penangkapan beramai-ramai ini tentunya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan komuniti pelarian dan mengancam keamanan mereka.

DAYA TAHAN

Kelompangan sistem, kekurangan jaringan keselamatan dan perbezaan budaya menyumbang kepada penderitaan golongan pelarian dan keluarga mereka. Keadaan diburukkan lagi dengan pergeseran antara kerajaan dan pelarian hingga mewujudkan rasa takut yang berakar umbi daripada ketidakpercayaan terhadap pihak berkuasa.

Justeru, langkah menyenaraikan kumpulan pelarian dan individu tanpa kerakyatan sebagai golongan rentan membolehkan mereka mengakses perkhidmatan perlindungan dan bantuan diperlukan bagi kelangsungan hidup yang lebih baik. Adalah penting untuk kita faham bahawa pelarian tidaklah berada dalam kedudukan yang rentan secara intrinsik, apatah lagi disebabkan oleh kurangnya daya tahan diri. Sebaliknya, mereka berisiko terhadap pencabulan hak asasi manusia dek pelbagai bentuk diskriminasi dan penindasan bersilang, ketidaksamaan struktur dan sosial yang kompleks. Oleh itu, kita perlu melihat isu ini melalui lensa interseksionalisme bagi menghasilkan dasar yang lebih baik dan efisien.

Kami turut memuji keputusan Perdana Menteri untuk memperluaskan keahlian jawatankuasa Kabinet tersebut dengan melibatkan wakil daripada masyarakat sivil yang menyelaraskan perlindungan terhadap golongan ini. Langkah ini dilihat membawa kepada perwakilan dan suara lebih inklusif dalam menangani nasib pelarian dan individu tanpa kerakyatan.

Tuntasnya, kami berharap kerajaan dapat meningkatkan usaha memperkasakan perlindungan terhadap pelarian serta individu tanpa kerakyatan. Ini termasuklah memberikan mereka akses terhadap peluang pekerjaan, pendidikan dan kesihatan asas, sejajar dengan komitmen dan sokongan digerakkan oleh 17 kerangka Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Akses terhadap hak asasi adalah penting bagi mengembalikan maruah dan kebebasan insani serta membina daya tahan supaya mereka mampu mencipta solusi yang mampan bagi mencorak kehidupan bermakna dan lebih baik. – UTUSAN

PENULIS ialah Penganalisis Penyelidikan & Advokasi di Bait Al Amanah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×